Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sudah membentangkan kira-kira 20 peratus hujahan pada Jumaat lalu hari ini akan menyentuh aspek saintifik khususnya berkenaan integriti bahan bukti DNA dalam kes tersebut.
Prosiding dijadualkan bermula pada jam 9 pagi ini.
Shafee memberitahu media Jumaat lalu bahawa penghujahannya hari ini hanya akan berlangsung sehingga tengah hari, tiada sesi prosiding pada sebelah petang.
Berikut adalah perkembangan yang berlangsung di kamar mahkamah:
8.30 pagi: Para peguam dari kedua-dua belah pihak mula tiba bersama dokumen hujahan masing-masing.
Shafee dilihat dalam perbualan ringkas bersama ketua peguambela, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Galeri awam sudah dipenuhi petugas media, kenalan politik Anwar dan pemerhati/NGO.
8.50 pagi: Anwar yang tiba bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah, menyapa Gopal di meja pembelaan.
Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Wan Azizah ketika mereka sampai di mahkamah untuk prosiding hari kelima. Foto Astro AWANI/Shahir Omar
8.50 pagi: Di luar mahkamah, wartawan Astro AWANI melaporkan keadaan tenteram dan tenang di perkarangan Istana Kehakiman. Kelihatan wakil media mula berkampung di premis mahkamah.Pekerja media sudah mula berkampung di perkarangan Mahkamah Kehakiman di Putrajaya seawal 7.30pagi. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf
9.25 pagi: Lima panel hakim tiba di kamar mahkamah. Prosiding bermula.9.40 pagi: Berkenaan hujah peguambela yang menyatakan bahawa perbuatan memberus gigi tersebut hanya 'didengari' dan bukannya 'dilihat' oleh saksi yang juga anggota polis. Shafee membalas, saksi itu walau bagaimanapun tidak menyebut 'berus gigi' itu tidak digunakan.
9.45 pagi: Shafee berkata saksi tersebut juga mengecam botol air yang dibawa Anwar masuk ketika dalam tahanan. Anwar juga mengakui membawanya. Berkenaan tiga bahan bukti tersebut, kesemuanya dilihat telah dibuka dari bungkusan dan berada di lantai ketika Anwar keluar dari lokap.
10 pagi: Penyokong Anwar berkumpul dan membacakan surah Yasin, mendoakan prosiding berjalan lancar.
Penyokong Anwar Ibrahim berkumpul di luar mahkamah, membacakan surah Yasin mendoakan prosiding berjalan lancar. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf
10.05 pagi: Menurut Shafee, mendiang Karpal Singh (yang juga ketua peguam kes liwat Anwar) telah menyoal Superintenden Jude Pereira secara menyeluruh pada permulaan perbicaraan. Shafee menegaskan bahawa perbicaraan dalam perbicaraan adalah tidak perlu bagi mengesahkan tentang tiga bahan bukti berkenaan.
10.15 pagi: Shafee meminta maaf kerana membentangkan butiran penghujahan secara pantas yang memerlukan para hakim sentiasa merujuk pada pelbagai jilid hujahan kerangka yang telah disediakannya.
10.35 pagi: Shafee berkata, semua hasil pemeriksaan DNA oleh pakar yang terlibat daripada pihak pendakwa adalah tepat. Menurutnya, ketika pemeriksaan sulit mahu dibuat di Hospital Kuala Lumpur, Anwar tidak memberikan kerjasama. Putik kapas yang sepatutnya memberi bukti yang paling jelas, walau bagaimanapun tidak digunakan.
Profil DNA yang diambil daripada bahan bukti dari bahagian sulit pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan yang ditemui pada bahan bukti dari lokap mempunyai persamaan.
10.40 pagi: Sementara hujah tentang DNA berlangsung, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hadir ke galeri awam kamar mahkamah lantas duduk di belakang kandang tertuduh. Teresa menghulurkan senaskhah buku untuk ditandatangani Anwar.
10.50 pagi: Hakim Tun Ariffin dan Tan Sri Suriyadi bersoal jawab dengan Shafee meminta penjelasan hal teknikal pada jilid penghujahan Shafee. Ia berkaitan dengan butiran hasil ujian makmal ke atas DNA Saiful dan Anwar.
11.05 pagi: Berkenaan keunggulan sampel DNA yang didakwa mengalami degradasi oleh peguambela Anwar, Shafee menafikannya. Berdasarkan input beliau, DNA tidak akan berubah identifikasi walaupun dalam tahap degradasi.
Shafee menegaskan, identiti DNA tetap boleh dipastikan dalam keaadan yang teruk, sambil mengaitkan hal yang berlaku pada mangsa suatu insiden yang berlaku baru-baru ini.
"DNA itu samada boleh dibaca atau tidak boleh dibaca, hanya dua kemungkinan," kata Shafee.
11.10 pagi: Shafee beralih ke testimoni tiga doktor HKL dan menyatakan bahawa kesemua mereka mengikut garis panduan. Semua peralatan yang digunakan telah disteril, maka kesan pencemaran pada DNA diminimumkan.
Berkenaan hal penembusan pada rektum pengadu, mereka menemui kesan tersebut setelah memeriksa sehingga 4 sentimeter dalam.
11.15 pagi: Prosiding berhenti rehat.
11.40 pagi: Shafee memetik kembai beberapa testimoni Saiful yang menggunakan perkataan 'setiap kali', 'lagi', dan 'seperti biasa' apabila bercakap tentang perlakuan liwat dengan yang tertuduh.
Ini termasuk juga pertanyaan berbau seksual yang diakhiri 'today' (hari ini) kepada Saiful. Perkataan 'today' itu menunjukkan kemungkinan aksi itu pernah dilakukan pada hari-hari lain.
Tegas Shafee, itu menunjukkan bahawa perbuatan liwat berkenaan berlaku berulang kali. Saiful yang telah diberi pelbagai keistimewaan oleh Anwar, berada di persimpangan dalam membuat keputusan.
11.50 pagi: Shafee menjelaskan istilah 'tanpa rela' dlam kes Saiful merujuk kepada tindakan yang tidak mampu lagi ditanggung olehnya.
12.15 tengahari: Shafee membandingkan kredibiliti Saiful berdasarkan testimoni Dr Mohd Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi.
Menurutnya, Saiful mendakwa doktor itu tidak bercakap benar apabila melaporkan bahawa objek plastik telah dimasukkan ke dalam duburnya.
Shafee juga menyebut tentang sifat laporan yang tergesa-gesa dan laporan bertulis Dr Osman yang langsung tidak menyatakan objek plastik tersebut.
12.30 tengah hari: Shafee berhujah, apabila bekas peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden membuat pemeriksaan, Dr Osman memberitahu bahawa laporan bertulis itu disediakan pada 30 Jun iaitu dua hari selepas Saiful diperiksa.
Arifin bertanya sama ada diambil keterangan daripada Osman tentang perkara tersebut, dan Shafee mengatakan tidak. Ramkarpal mencelah dengan mengatakan bahawa ada tiga keterangan yang diambil daripada doktor berkenaan.
Shafee memberitahu Dr Osman hanya menyebut tentang penggunaan objek plastik selepas pertemuan itu dan dakwanya, ia dilakukan atas kepentingan seseorang.
1.00 petang: Shafee memerlukan lagi maksimum 2 jam pada pagi esok untuk menghabiskan hujahnya dan Arifin menangguhkan prosiding.
GALERI FOTO: LIWAT II - RAYUAN TERAKHIR ANWAR IBRAHIM
GALERI FOTO: LIWAT II - PROSIDING TERAKHIR ANWAR IBRAHIM - HARI KEDUA