PELABUHAN KLANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan projek satu persatuan nelayan, satu produk sebagai usaha meningkatkan ekonomi dan membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan di negara ini.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata inisiatif itu juga dilihat mampu meningkatkan taraf dan kualiti hidup golongan nelayan yang kebanyakkannya daripada kelompok B40.

"Hal ini kerana ramai dalam kalangan mereka (nelayan) tidak melibatkan diri dalam industri hiliran, bermaksud mereka tidak mengubah hasil tangkapan mereka itu untuk menjana pendapatan.

"Terdapat 113 persatuan nelayan di dalam negara, jadi saya merancang untuk mewajibkan setiap persatuan ini mempunyai produk dan aktiviti hiliran berasaskan perikanan masing-masing supaya lebih banyak hasil dapat dijana," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra MADANI bersama nelayan Orang Asli Pulau Indah, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata inisiatif itu juga mampu membantu kerajaan dalam memastikan bekalan produk berasaskan ikan di pasaran sentiasa mencukupi.

Pada majlis itu, 29 nelayan di Kampung Orang Asli Pulau Indah menerima bantuan kotak makanan dan peralatan nelayan di bawah program Peningkatan Pendapatan dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) dengan peruntukkan keseluruhan RM31,030.

-- BERNAMA