SHAH ALAM: Longgokan barangan kitar semula di kawasan terbuka berkeluasan kira-kira lapan meter persegi berhampiran sebuah pusat memandu di Shah Alam, dekat sini, terbakar dalam kejadian tengah hari, Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.24 tengah hari.
Advertisement
"Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, setakat jam 3 petang, kerja pemadaman masih dijalankan dengan bantuan beberapa balai lain iaitu BBP Klang Selatan, BBP Andalas, BBP Pelabuhan Klang, BBP Klang Utara dan BBP Bukit Jelutong.
Katanya, seramai 31 anggota bersama beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Water Tanker (WT) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Tiada mangsa dilaporkan setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.