KUALA LUMPUR : Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya masih berjalan mengikut pelan alternatif yang diumumkan Kementerian Pengangkutan semalam.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, bagi seksyen yang terlibat dengan pelanggaran tren dalam kejadian Isnin malam lalu, hanya satu landasan digunakan.

"Pasukan Pemeriksaan menyempurnakan misi mereka pada jam 4.30 pagi sebelum perkhidmatan LRT bermula dari jam 6 pagi hari ini.

"Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan.

"APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail," katanya menerusi catatan di Facebook pagi tadi.


 
Sumber Facebook wksbmenglish


Dalam pada itu, Ka Siong turut menjelaskan Pasukan Pemeriksaan Fizikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi APAD memulakan kerja-kerja pembukaan landasan dan sistem kereta api di Stesen KLCC - Kampung Baru.

"Hasil Pemeriksaan mendapati Laluan Kecemasan (Emergency Walkway) di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran (patah di bahagian tapak). Ia perlu diambil tindakan pembaikan segera.

"Disamping itu, 3 Rail clip tidak dipasang pada bahagian rel (1pcs pada lim rel 1445, 2pcs pada lim rel 1444). Rapid Rail telah memasang rail clip tersebut serta-merta.

"Pasukan Pemeriksaan APAD mengarahkan Rapid Rail menggantikan 'linear heat detector sensor cable' yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang lebih kurang 28.5m. Ini adalah untuk memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kampung Baru," jelasnya.

Jelasnya, pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat kerana ini adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT.

Sementara itu, pengujian 'rollover train' bermula pada jam 3.08 pagi dan pemerhatian 'rollover' mendapati simulasi pergerakan tren berada di dalam keadaan baik.