KUALA NERUS: Pelajar lulusan Diploma Fisioterapi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merekodkan kadar kebolehpasaran 100 peratus untuk tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada 2019 dan 2020.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan UniSZA Prof Dr Sakinah Harith berkata semua 175 lepasan Diploma tersebut telah mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan, swasta, malah ada yang membuka pusat rawatan swasta dan meraih pendapatan lumayan.

"Peningkatan ketara bilangan pusat perawatan fisioterapi swasta serta pertambahan keperluan semasa dalam perawatan kecederaan sukan, telah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada lepasan Diploma ini yang kebiasaannya dilantik sebagai Jurupulih Perubatan Fisioterapi (gred U29 sektor kerajaan).

"Siswazah yang proaktif pula memilih untuk meneroka peluang perniagaan dalam bidang ini. Mereka juga berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti Sarjana Muda, Sarjana dan seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Diploma Fisioterapi merupakan antara tujuh program akademik yang ditawarkan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UniSZA yang dikelolakan oleh Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi (PPSR) di Kampus Gong Badak, Kuala Nerus.

Program ini turut mendapat pengiktirafan penuh oleh Agensi kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 Ogos 2013.

Menurutnya sepanjang pengajian, pelajar didedahkan dengan ilmu pengetahuan secara teori serta kaedah perawatan pesakit seperti strok, lumpuh, masalah perkembangan fizikal bagi kanak-kanak, pengurusan pesakit selepas kepatahan tulang dan pembedahan, kecederaan sukan, masalah sistem pernafasan termasuk sindrom long COVID dan lain-lain masalah berkaitan yang dirujuk oleh pakar kesihatan.

"Pelajar juga berpeluang menimba pengalaman kerja yang sebenar kerana akan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan seluruh Terengganu, selain beberapa hospital di Kelantan serta pusat perawatan fisioterapi swasta," katanya.

-- BERNAMA