NATIONAL
LZS belanja RM35.3 juta santuni masyarakat di Selangor sepanjang Ramadan - Exco

Mohammad Fahmi berkata, jumlah itu merangkumi sumbangan kepada 75,207 asnaf dan fakir miskin, baik pulih infrastruktur masjid serta program pengimarahan masjid di seluruh Selangor. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membelanjakan hampir RM35.3 juta sepanjang Ramadan tahun ini bagi menyantuni masyarakat di Selangor khususnya mereka yang kurang berkemampuan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, jumlah itu merangkumi sumbangan kepada 75,207 asnaf dan fakir miskin, baik pulih infrastruktur masjid serta program pengimarahan masjid di seluruh Selangor.
"Pada bulan ini juga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Ihya' Ramadan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1446H di 13 masjid terpilih di Selangor.
"Majlis Ihya' ini dibuat untuk mendekatkan pemimpin di Selangor dengan umat Islam serta merapatkan hubungan antara penjawat awam negeri. Turut diadakan sempena majlis itu perasmian tujuh masjid baharu oleh Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.Mohammad Fahmi berkata, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam Selangor juga telah menganjurkan Program Kembara Masjid Selangor 2025 (KEMAS) di sembilan masjid terpilih dalam daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Petaling.
Beliau berkata, program itu bertujuan menggalakkan anak-anak muda solat berjemaah di masjid selain bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan masjid dan sekolah agama di negeri ini.
"Selain program awam seperti iftar, solat tarawih, tadarus komuniti dan qiyamullail perdana, program Selangor Beriktikaf juga dianjurkan bersama Pertubuhan IKRAM Selangor.
"Program iktikaf ini merangkumi ceramah agama, aktiviti kanak-kanak, solat berjemaah, majlis iftar, tarawih, qiyamullail yang melibatkan ahli keluarga, anak muda dan ahli jawatankuasa masjid setempat di 20 masjid terpilih dalam daerah Petaling," katanya.
Mohammad Fahmi berkata, semua penganjuran program Ramadan itu membuktikan komitmen berterusan pihak Majlis Agama Islam Selangor, JAIS dan kerajaan negeri dalam memartabatkan syiar Islam serta memastikan kebajikan umat Islam di Selangor terus dijaga.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami