KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB) memeterai perjanjian penerbangan carter haji selama tiga tahun bersama Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan operasi penerbangan carter haji bagi jemaah dari Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-duanya memaklumkan perkhidmatan penerbangan carter tersebut akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, AMAL by Malaysia Airlines (AMAL).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail berkata, 50 peratus jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh AMAL secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.

Beliau berkata, AMAL akan menggunakan pesawat A330-300 dengan kapasiti 284 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan yang selesa dan terbaik diberikan pada para jemaah.

"Ini termasuk perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah yang menyeluruh sebaik sahaja penumpang memasuki pesawat," katanya.

Menurut kenyataan itu, seramai 14,306 jemmah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, rekod cemerlang AMAL yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan penerbangan sewa khas haji telah menjadi pendorong utama pemilihan MAB sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi tiga tahun, bermula tahun ini sehingga 2024.

"Kami yakin komitmen, pengalaman, kepakaran dan kerjasama di semua peringakat mampu memberikan perkhidmatan dan layanan yang cemerlang kepada bakal haji. Mutu perkhidmatan yang diberikan oleh AMAL sebelum ini telah menerima pujian daripada jemaah haji," katanya.

Amrin berkata, TH ialah satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Perjanjian penerbangan carter haji tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Operasi AMAL, Muhammad Najmi Mansor dengan disaksikan oleh Amrin serta Kapten Izham di Akademi MAB, Kelana Jaya hari ini. - BERNAMA