TELUK INTAN: Seorang pesara kerugian RM57,200 ditipu seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman bernama ‘Datuk Reduan’.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kes bermula pada Khamis lalu, apabila pengadu dihubungi individu yang memperkenalkan diri dari Telekom Malaysia (TM) kononnya pengadu mempunyai tunggakan bil telefon.

Menurut beliau, pengadu menafikan dan mendakwa mungkin ada orang lain yang menyalahgunakan namanya.

“Memandangkan akaun Telekom dibuka di Seremban, pengadu telah disambungkan pula kepada seorang yang menyamar sebagai anggota polis di Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek yang menyamar sebagai sarjan mendakwa kononnya telah membuat semakan dalam sistem dan mendapati pengadu ada terlibat kes pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, ‘sarjan’ tersebut juga menyatakan tidak boleh membantu dan menyambungkan pengadu dengan pegawai di Bukit Aman yang menyamar sebagai Datuk Reduan.

Menurutnya, ‘Datuk Reduan’ pula ingin membantu pengadu dan meminta maklumat akaun pengadu, kononnya untuk pindahan wang dalam akaun pengadu bagi tujuan semakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Setelah pengadu serahkan maklumat perbankannya, pengadu telah diminta untuk serahkan akaun milik isteri beliau yang mana pengadu juga turut serahkan maklumat perbankan akaun isterinya,” ujarnya.

Ahmad Adnan berkata, suspek kemudiannya telah mengambil alih kawalan ke atas akuan mangsa dan memindahkan wang pengadu berjumlah RM22,000 dan wang milik isterinya berjumlah RM35,200 ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti.

Menurutnya, pihak polis perlu mendapatkan maklumat lengkap dari pihak BNM berhubung akaun mana yang pihak sindiket pindahkan wang dari akaun pengadu serta isterinya.

Katanya, pengadu telah membuat laporan polis, kira-kira jam 10.52 pagi semalam.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan tindakan licik sindiket Macau Scam, dengan mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.