KUALA LUMPUR:Tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengaitkan Islam dengan keganasan menunjukkan pemimpin itu tidak menghormati kebebasan beragama dan bersifat perkauman.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berpendapat kenyataan itu hanya akan menyemarakkan kembali sentimen Islamofobia dan mengundang kebencian kepada umat Islam di sana.

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka menegaskan rakyat Malaysia perlu untuk bangkit bersama menunjukkan bantahan mengikut ruang lingkup undang-undang.

“Kami tidak bersetuju dan mengecam sebarang perbuatan jenayah atau keganasan yang melanggar undang-undang oleh sesiapa sahaja walaupun dilakukan orang Islam kepada orang bukan Islam.

BACA: Malaysia kecam sekeras-kerasnya ucapan benci dan fitnah Islam

BACA: Islamofobia di Perancis: Anwar utus surat terbuka kepada Macron

BACA: Hina Islam: Pas seru umat Islam boikot barangan buatan Perancis

“Namun untuk keganasan dilakukan oleh seseorang yang mempunyai nama Islam, mengapa seluruh umat Islam dan agama Islam perlu diheret sama dalam kesalahan tersebut?

“Perkara ini tidak pula berlaku apabila melibatkan tindakan sama oleh mana-mana individu bukan beragama Islam,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini yang dimuat naik melalui Facebook sebuah NGO, Multiracial Reverted Muslims (MRM). 

Dalam kenyataan sama, NGO tersebut mengutuk sekeras-kerasnya sikap berat sebelah begitu yang hanya menyerlahkan lagi sentimen Islamofobia.

 
Sumber Facebook MultiracialRevertedMuslims99

Tegas mereka lagi, tindakan yang cuba diketengahkan Macron bukanlah kebebasan bersuara tapi kebebasan untuk menghina.

Kenyataan kontroversi Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini.

Guru itu dibunuh selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

BACA: Macron sasar golongan radikal, bukan umat Islam - Kedutaan Perancis

BACA: Isu karikatur Nabi Muhammad: Umat Islam serata dunia protes

BACA: Protes di Pakistan bantah penerbitan semula kartun kontroversi hina Nabi Muhammad

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Kenyataan Macron menyebabkan umat Islam di seluruh dunia berang dan melakukan beberapa protes bagi menyuarakan bantahan mereka.