KUALA PERLIS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di setiap daerah di negeri-negeri yang terjejas banjir bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid berkata bilik gerakan itu mula diaktifkan semalam untuk membantu kumpulan sasar terjejas selain mengenal pasti mereka yang terlibat dengan bencana itu.

"Saya menerima maklumat terbaru pagi tadi bahawa Negeri Sembilan, Dengkil dan Klang sangat terjejas dan walaupun kita masih menerima maklumat tetapi bantuan awal berupa bekalan makanan telah bermula dari semalam lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Lebih 21,000 mangsa banjir di Lembah Klang, Pahang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat tengah Ahad.

Menurut Haslina orang ramai dimohon menghubungi Bilik Gerakan MAFI di talian 03-8701664/1491 atau e-mel [email protected] untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembukaan dan pengoperasian bilik gerakan bantuan banjir untuk sektor pertanian dan industri makanan.

"Di samping apa yang disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MAFI juga turut memberi bantuan kepada mangsa banjir yang terdapat juga ramai penjawat awam di bawah MAFI sendiri yang terjejas akibat bencana ini," katanya.

Katanya kementerian juga sedang mengumpul maklumat jumlah petani yang terjejas akibat banjir itu untuk membolehkan bantuan disalurkan secara terus kepada golongan tersebut.

"Saya dimaklumkan banyak pagar-pagar kawasan pertanian sudah ditenggelami air, bantuan tersebut memerlukan semakan lanjut...apa kerugian yang terlibat dan kami akan melihat mengikut kapasiti MAFI dalam masa ini," katanya.

- BERNAMA