Bekas penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, Datuk Mah Siew Keong, berjanji akan berkerja keras untuk merampas semula kerusi tersebut daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, 31 Mei ini.

Presiden Gerakan itu berkata beliau telah memberi jaminan itu kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mah, ahli politik berusia 53 tahun itu, pernah menyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Pada Pilihan Raya Umum 2013, Mah tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.

"Saya harap dalam tempoh dua minggu semua jentera parti komponen BN dapat bekerjasama bagi memastikan kemenangan," katanya pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera BN oleh Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Mah, anak jati Teluk Intan turut mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada pilihan raya itu.

"Jika kita (parti-parti komponen BN) bekerjasama kita boleh menang, tetapi tidak hanya melalui saya dan pemimpin (BN) atas pentas ini...yang akan menentukan kemenangan adalah saudara saudari, kemenangan (BN) adalah di tangan anda," katanya.

"(Jika) BN menang, bukan Mah hebat tetapi BN di Teluk Intan hebat, UMNO...,MIC..., MCA..., Parti Progresif Penduduk (PPP)... dan Gerakan... hebat," kata bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan wakil rakyatnya Seah, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 1 Mei lepas.