Peningkatan gred Malaysia University English Test (MUET) ke tahap 3 bagi kemasukan pelajar ke universiti bermula tahun hadapan mendapat reaksi positif mahasiswa tempatan.

Kebanyakan mahasiswa berpendapat, langkah itu dilihat mampu menempatkan lepasan graduan ke pasaran kerja yang lebih baik, sekali gus mampu bersaing dengan pasaran luar.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Aervin Misron berkata, langkah itu dilihat wajar dan sejajar dengan perkembangan negara.

"Dengan penguasaan Bahasa Inggeris, graduan akan lebih mudah menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan dan menjadi pilihan utama majikan.

"Pada pandangan saya, langkah yang diambil pada gred MUET untuk graduan sangat bagus kerana permintaan untuk keboleh pasaran Bahasa Inggeris adalah tinggi dan tidak boleh dinafikan.

"Faktor pengangguran meningkat kerana mahasiswa tidak tahu berbahasa Inggeris. Langkah ini bagus untuk memastikan graduan yang lahir adalah bermutu," katanya.

Ia turut disokong Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Abdul Hatim Halimi yang berpendapat, langkah itu bijak dan satu pelaburan pada masa hadapan.

"Sebagai lepasan graduan yang menjadi generasi pelapis negara, kemampuan menguasai pelbagai bahasa adalah amat penting.

"Ia sekali gus dapat mengupayakan modal insan keusahawanan selain dapat membantu kita menjelaskan kemampuan mahasiswa terutama dalam kerajaan.

"Saya pasti ini langkah terbaik untuk memperkasa Bahasa Inggeris dan melahirkan mahasiswa berketerampilan selain mampu bersaing dengan negara luar," katanya.

Dalam pada itu, pelajar UTM, Adiline Marcia berpendapat, ia merupakan perubahan baik kerana pelajar kini dilihat lemah di dalam bahasa itu.

"Itu satu perubahan yang sangat baik sebab sekarang ini pelajar kurang menguasai bahasa ini.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menaikkan gred MUET bagi kemasukan universiti bermula tahun depan.

Ketika ini, syarat kemasukan am ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memerlukan pelajar mencapai tahap minimum MUET Band 1.

Mulai tahun depan, kemasukan IPTA tahap minimum band MUET ditingkatkan mengikut bidang, seperti Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 2, Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) - Band 3, Pengajian Undang-undang dan Perubatan - Band 4.

Manakala syarat untuk graduan pula, pelajar wajib mencapai Pengajian Sastera dan Sains Sosial - Band 3, Pengajian STEM - Band 4 dan Pengajian Undang-undang dan Perubatan - Band 5.

Najib turut menyarankan IPTS melaksanakan langkah yang sama.