SHAH ALAM: Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam hari ini menolak permohonan pelakon dan pengacara terkenal, Serina Redzuawan untuk mendapatkan lanjutan tempoh masa memfailkan rayuan balas atas hak jagaan anak lelakinya, Tristan Tareef yang diberikan kepada bekas suaminya, Gavin Edward O’luanaigh.

Penghakiman dibuat Hakim Datuk Mohd Shukur Sabudin, Datuk Mohd Radzi Abd Latif dan Datuk Jasri @ Nasip Mat Jakir.

Mahkamah memutuskan bahawa Serina tidak mempunyai alasan yang munasabah serta tidak dijelaskan di dalam afidavitnya berhubung kelewatan 19 hari memfailkan permohonan tersebut.

Oleh itu Serina didapati gagal memberikan alasan yang musabah dan melengah-lengahkan prosiding mahkamah.

Sementara itu, peguam yang mewakili Gavin, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam prosiding turut menjelaskan Serina tidak boleh membangkitkan rayuan terhadap hak jagaan anak yang diberikan kepada Gavin.

"Rayuan Gavin terhadap perintah hak jagaan anak perempuannya, Isabella Saffiya O’luanaigh yang diberikan kepada Serina telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 27 Mei ini.

"Mahkamah Rayuan hanya akan mendengar rayuan Gavin iaitu perintah yang memberikan hak jagaan kepada Serina iaitu Isabella,” katanya kepada pemberita di Shah Alam pada Rabu.

Gavin diwakil Zainul Rijal dan Muhammad Shafiq Ibrahim manakala Serina pula diwakili peguam Datuk Seri Amli Embong.

Pada Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak penjagaan Isabella kepada Serina, manakala anak sulung, Tristan mereka pula diberikan kepada Gavin.

Serina yang juga anak kepada chef selebriti, Chef Wan menikahi warga Britain, Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010.

Rumah tangga pasangan itu, bagaimanapun, hanya bertahan selama tujuh tahun apabila mereka bercerai pada 1 Ogos 2017 di Mahkamah Syariah Petaling Jaya dengan talak satu.