Skip to main content

Malaysia

MAIPs peruntuk RM6 juta bantu 12,000 asnaf di bulan Ramadan

Sumber: MAIPs
Tuanku Syed Faizuddin (kiri) menerima replika cek bernilai RM6.056 juta daripada Mohd Nazim bagi pelaksanaan Sumbangan Bantuan Fitrah 2026 pada Majlis Iftar Jamaie di Kuala Lumpur, 25 Feb 2026. - Foto MAIPs

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM6.06 juta bagi pelaksanaan Sumbangan Bantuan Fitrah 2026, bertujuan meringankan beban golongan asnaf dalam membuat persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Melalui peruntukan itu, seramai 12,112 asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri Perlis bakal menerima bantuan berkenaan secara berperingkat, khususnya bagi membeli barangan makanan dan keperluan asas.

Advertisement

Majlis pelancaran bantuan tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada Majlis Iftar Jamaie yang menghimpunkan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa MAIPs di ibu negara malam tadi.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Ketibaan baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menyeru agar setiap jawatankuasa di bawah MAIPs memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem tadbir urus Islam di negeri itu, ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

Baginda bertitah, usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf secara berimpak, memperluaskan pendidikan serta latihan asnaf secara mampan, selain memodenkan sistem penyampaian melalui pendigitalan, diyakini memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup golongan berkenaan.

Inisiatif-inisiatif itu, titahnya lagi, mampu mempercepatkan langkah ke arah pembasmian kemiskinan sepenuhnya di Perlis dalam tempoh lebih singkat.

“Pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk bergerak seiring tuntutan semasa tanpa mengabaikan prinsip syariah serta nilai-nilai tradisi,” titah baginda.

Sebagai Tuanku Yang Dipertua MAIPs, baginda turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan Perutusan Lantikan Ahli Jawatankuasa MAIPs bagi sesi 2026–2027.

Terdahulu, Mohd Nazim membentangkan Pencapaian MAIPs 2025 serta Pelan Strategik Bersasar bagi tempoh lima tahun mendatang.

Must Watch Video