SEBERANG PERAI: Gagal mematuhi peraturan gaji minimum dan tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk pekerja antara kesalahan dikesan dalam Operasi Banteras Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang pada Khamis.

Operasi tersebut dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang  di beberapa premis di sekitar Tasek Gelugor di sini, pada Khamis.

Operasi Bersepadu itu turut disertai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Dalam operasi itu, pihak JTK mengesan pelbagai kesalahan dilakukan majikan dibawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

"Antara kesalahan dikesan ialah majikan gagal mematuhi kehendak gaji minimum RM1,200 di bawah Perintah Gaji Minimum 2020, melakukan pelanggaran di bawah Akta Kerja 1955 di mana majikan gagal menyimpan daftar pekerja, sesalinan kontrak perkhidmatan gagal diberikan kepada pekerja, waktu bekerja melebihi 12 jam sehari dan gagal melaporkan penggajian pekerja asing. 

"Selain itu, majikan juga gagal membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan Perakuan Penginapan iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24D, Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan sedangkan pemilik menyediakan penginapan kepada seramai 14 orang pekerja tempatan dan asing warga Laos, Indonesia dan Nepal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pihak JTK juga mendapati ada majikan gagal mematuhi kehendak minimum penginapan di bawah Peraturan Akta 446.

Dalam pada itu, agensi lain yang turut terbabit dalam operasi berkenaan juga turut mengesan kesalahan lain termasuk di bawah KKM yang mana majikan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Kesalahan ini akan diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan," kata kenyataan tersebut.