KUALA LUMPUR : Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat kewajaran majikan memberikan gaji yang lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan jika pekerja memilih untuk bekerja dari rumah (BDR).

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.

"Sebenarnya ada berbagai-bagai pendapat mengenai sama ada wajar BDR itu dibayar lebih kecil tetapi  banyak syarikat kata kalau ada pengurangan, ia tidak harus banyak iaitu antara 10 hingga 12 peratus.

"Ini dilakukan sebab faktor tertentu di mana kalau kita lihat ada sesetengah syarikat memberikan elaun pergi dan balik bekerja.

"Maknanya elaun perjalanan tidak harus diteruskan jika pekerja bekerja dari rumah. Ada pekerja memilih gaji kurang apabila dibanding dengan ulang alik tempat kerja dimana kos boleh dikurangkan, itu antara faktor diambil jika mereka boleh turunkan gaji pekerja dari rumah," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad. 

Bagaimanapun, beliau mengakui ada pihak melihat gaji pekerja BDR tidak wajar dikurangkan kerana mereka bekerja seperti biasa seperti yang berada di pejabat.

"Namun pada akhirnya, perkara itu bergantung kepada pilihan pekerja itu sendiri sama ada untuk menerima potongan elaun tertentu dan bekerja dari rumah atau memutuskan untuk mengeluarkan kos perjalanan dan bekerja di tempat kerja," ujarnya lagi. 

Mengikut tinjauan MEF, jelas beliau, tidak ramai majikan yang mahu meneruskan amalan BDR atau secara hibrid.

"Ini bermakna apabila kita memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik ini, kebanyakan majikan memilih untuk beroperasi dari tempat kerja.

"Namun, jika pekerja bekerja dari rumah tidak bermakna mereka boleh menurunkan produktiviti mereka dan seharus sebaliknya," tambahnya.

Malah, MEF melihat pekerja dari rumah seharusnya menunjukkan produktiviti kerja yang lebih baik memandangkan mereka tidak perlu lagi menempuh kesesakan jalan raya untuk ke tempat kerja.

"Kalau biasa pekerja tidak perlu lagi menempuh kesesakan jalan raya seperti biasa berikutan mereka memilih bekerja dari rumah, membuatkan pekerja letih dan stres, jadi mereka akan lebih fokus kepada kerja dan tidak ada isu produktiviti.

"Namun, untuk mereka berkerja dari rumah mereka perlu disediakan peralatan dan jaringan internet yang baik dan sebagainya," ujarnya.