Majlis Profesor Negara (MPN) diharap mengemukakan cadangan baru bagi memantapkan lagi agenda perpaduan nasional.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yakin MPN selaku barisan pemikir negara dapat memberi cadangan terbaik berhubung penyatupaduan rakyat di negara ini.

Kerajaan pula sentiasa terbuka terhadap semua cadangan oleh MPN.

Jelasnya penyatupaduan nasional bukan sahaja akan terus menjadi dimensi penting dalam perancangan ekonomi malah ia menjadi medium kepada pembangunan rakyat.

Kerajaan sedia memberi peruntukan kepada MPN melaksanakan kajian mobiliti sosial untuk melihat kejayaan serta pencapaian malaysia sejak merdeka.

Beliau berucap ketika merasmikan Kongres Profesor Negara kedua di ibu negara.

Bertemakan “Gagasan Penyatupaduan Nasional” ia menghimpunkan kira-kira 600 ahli akademik bagi mencari resolusi terhadap lima topik utama.

Antaranya konsep dan cabaran penyatupaduan nasional, keadilan dan sosioekonomi, sains dan pendidikan, jati diri dan patriotisme serta globalisasi dan ketahanan nasional.

Resolusi persidangan kemudian diserahkan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutup kongres berkenaan pada Ahad.