KUALA SELANGOR: Sindiket memproses dadah yang menjadikan sebuah premis di kawasan perindustrian di Bandar Puncak Alam sebagai makmal tumpas selepas diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 15 Ogos lalu.
Lebih mengejutkan, serbuan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2.4 bilion, yang disifatkan sebagai rampasan terbesar dalam tempoh beberapa tahun.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dikenali sebagai Op Eumenes itu dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama kira-kira tiga hingga empat bulan.
Menurutnya, sebanyak enam siri serbuan dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, membawa kepada penahanan lima suspek berusia antara 29 hingga 43 tahun.
"Suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara asing dan seorang perempuan warganegara asing.
"Kesemua mereka telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 21 dan 27 Ogos lalu," katanya pada sidang media di Puncak Alam pada Rabu.
Hussein berkata, antara rampasan utama ialah 7,097.40 kilogram cecair MDMA dan 6,069.31 kilogram serbuk MDMA, selain 1.04 kilogram ganja, 880 gram pil Erimin 5, 180 gram ketamin, 150 gram pil yaba dan 50 gram methamphetamine.
"Kalau kita lihat cecair MDMA sahaja, ia hampir tujuh tan, manakala serbuk MDMA pula hampir enam tan.
"Ini adalah rampasan yang sangat besar dan nilainya keseluruhan mencecah RM2.4 bilion, jumlah ini bukan sahaja terbesar untuk tahun ini, malah antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan," katanya.
Beliau berkata, sindiket dipercayai mula aktif sejak Februari lalu dan menggunakan premis berkenaan untuk memproses serta menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Katanya, sindiket mendapatkan bahan prekursor serta kelengkapan pemprosesan dari luar negara sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui kargo di Pelabuhan Klang.
"Sebahagian peralatan itu diisytiharkan sebagai peralatan pemprosesan bagi mengaburi pihak berkuasa, kita percaya bahan dan peralatan ini berasal dari China," katanya.
Hussein berkata, polis turut menemui kontena di dalam premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi sindiket membawa masuk bahan dan peralatan dari luar negara.
Menurutnya, sindiket menyewa premis berkenaan pada kadar antara RM9,000 hingga RM10,000 sebulan.
"Pemilik premis juga masih dalam siasatan bagi menentukan sama ada mereka mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam aktiviti sindiket ini.
"Pemilik mempunyai tanggungjawab untuk mengetahui tujuan premis mereka disewakan dan tidak boleh mengambil sikap lepas tangan sekiranya ia disalahgunakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis percaya ketua sindiket berkenaan adalah seorang individu yang ditembak mati dalam satu serbuan di Seremban beberapa hari sebelum sidang media itu.
Katanya, individu berkenaan dipercayai menguruskan penyewaan premis, kemasukan bahan prekursor dan peralatan dari luar negara selain merekrut ahli sindiket.
Hussein berkata, seorang suspek warganegara Taiwan yang ditahan pula dipercayai berperanan sebagai pakar kimia yang membantu sindiket memproses dadah.
"Individu ini dipercayai sudah masuk ke Malaysia sebanyak empat kali dalam tempoh setahun dan setiap kali masuk menggunakan tujuan lawatan sosial.
"Kita masih menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket ini di Taiwan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan," katanya.
Beliau berkata, masih terdapat beberapa ahli sindiket yang belum ditangkap, termasuk seorang yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya bantuan orang dalam daripada mana-mana agensi lain.
"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan, perkara ini masih dalam siasatan dan kita akan lihat keseluruhan rangkaian sindiket ini," katanya.
Dalam operasi sama, polis turut menyita aset di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan kira-kira RM276,000, termasuk kenderaan Toyota Vellfire, Honda City, Lexus GSE20, Proton Persona dan Perodua Myvi.
Tambahnya, premis yang digunakan sebagai makmal berkenaan juga akan disita dan dijadikan sebahagian daripada harta yang boleh dipulihkan menerusi tindakan pelucuthakan.
Hussein berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati beberapa suspek positif dadah termasuk methamphetamine, amphetamine, ketamin dan THC, manakala semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Beliau menegaskan siasatan masih diteruskan bagi mengesan baki anggota sindiket, mengenal pasti rangkaian luar negara serta menyiasat kemungkinan terdapat pihak lain yang terbabit dalam kegiatan berkenaan. - Sinar Harian