MALAYSIA
Malaysia berupaya bangunkan industri pertahanan sendiri - Pensyarah UPNM

Jelas Dr. Mohd Mizan, kesemua aset pertahanan itu kemudian boleh dipamerkan dalam pameran antarabangsa seperti LIMA atau ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Malaysia berpotensi membangunkan industri pertahanan sendiri dengan menggembleng nilai insan serta kepakaran tempatan, kata Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja akan memperkukuh keupayaan pertahanan negara, malah membuka peluang pemasaran ke negara jiran serta negara sahabat lain.
“Saya fikir kita mempunyai nilai insan yang mencukupi, termasuk profesor, tenaga pakar serta ramai bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpengetahuan luas.
“Kepakaran ini boleh digembleng dalam projek khas atau industri pertahanan khusus yang dipantau oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau agensi berkaitan bagi membangunkan teknologi dan keupayaan tersendiri," katanya.Jelasnya, kesemua aset pertahanan itu kemudian boleh dipamerkan dalam pameran antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) atau ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.
"Ia sekali gus menunjukkan kepada negara luar termasuk kuasa besar tentang keupayaan yang Malaysia miliki.
“Walaupun tidak secanggih negara maju, kita mempunyai kemampuan yang tidak kurang hebatnya, dan ini perlu ditonjolkan kepada dunia,” katanya.
Tambahnya, selain memperkukuh pertahanan negara, inisiatif itu berpotensi dikembangkan sebagai peluang perniagaan melalui pemasaran antarabangsa.
"Saya fikir, inisiatif ini bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara atau setiap cabang ketenteraan kita tetapi juga boleh dipasarkan ke negara jiran serta negara sahabat lain,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami