MALÉ: Malaysia bersedia mempertimbangkan penyediaan kemudahan pinjaman mudah bernilai AS$100 juta (sekitar RM430 juta) kepada Maldives, di samping membuka laluan rundingan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) bagi merancakkan aliran pelaburan dan dagangan dua hala.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, instrumen pembiayaan fiskal itu kini sedang diperhalusi di peringkat teknikal melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkuasa kewangan Maldives.
Menurut beliau, pertimbangan tersebut bersandarkan rekod disiplin pembayaran balik yang baik oleh republik berkenaan serta sokongan jaminan kerajaan yang diwajibkan.
"Dia sebenarnya memberikan jenis pinjaman mudah bagi Malaysia, tapi dilakukan melalui Bank Negara dan badan kewangan.
"Soal syarat-syarat prinsip itu masih diteliti oleh kedua-dua bank, walaupun pada dasarnya kita tidak ada masalah dengan rekod pembayaran mereka dan juga kerjasama dan jaminan kerajaan yang mesti ada," kata beliau pada sidang media penutup lawatan rasminya di sini, hari ini.
Menyentuh inisiatif perdagangan, Anwar berkata persetujuan memulakan rundingan PTA merupakan langkah asas kritikal sebelum kedua-dua negara melangkah ke arah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) penuh pada masa hadapan.
Jelas beliau, pemeteraian kerangka tarif keutamaan itu akan memberikan kepastian undang-undang dan kejelasan pasaran kepada para pelabur serta pengeksport tempatan.
"Bila kita ada FTA, sebelumnya PTA, itu dia memberi gambaran memudahkan kerjasama kerana peraturan itu jelas. Jadi bakal pelabur atau pedagang itu tahu secara khusus, secara persis apa yang dikehendaki.
"Sebab itu perjanjian itu penting dan juga jaminan-jaminan yang terikat dengan kerajaan," ujar Perdana Menteri.
Ketika ini, Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Maldives dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah eksport negara melepasi paras AS$184.1 juta berbanding import dari republik itu sekitar AS$1.3 juta.
Bagi mengukuhkan momentum ekonomi tersebut, perincian pelaksanaan PTA dan penyelarasan fiskal dijadualkan dibawa ke mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission) Malaysia-Maldives yang julung kali akan dihoskan di Kuala Lumpur menjelang tahun hadapan.