GADGETS
Malaysia, China manfaatkan potensi sektor perkhidmatan dalam digital, teknologi hijau

Projek ECRL dijangka dapat disiapkan pada Disember 2026 bagi jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dan seterusnya dari Gombak hingga ke Jalan Kastam pada Disember 2027. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor perkhidmatan melalui kerjasama yang dipertingkatkan dengan China, terutamanya dalam bidang ekonomi digital, teknologi hijau dan kesalinghubungan.
Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) See Chee Kong berkata kedua-dua negara perlu berusaha ke arah meningkatkan lagi kerjasama sedia ada dalam bidang digital, terutamanya e-dagang rentas sempadan, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bandar pintar.
"Platform e-dagang rentas sempadan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita mengakses pasaran yang luas manakala kerjasama dalam infrastruktur digital dan pengurusan data dapat mempertingkat ekosistem perniagaan kita," katanya.
Bercakap kepada Bernama pada Ekspo Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa Jiangsu 2025 di sini hari ini, katanya MITI juga sedang meneliti kaedah untuk memperkukuh kerjasama bukan sahaja dengan wilayah Jiangsu, malah dengan wilayah lain di China yang berpotensi tinggi.See berkata Malaysia dan China berkongsi komitmen yang sama terhadap kemampanan dan dapat memperkukuh perdagangan perkhidmatan mereka melalui kerjasama dalam perkhidmatan tenaga boleh baharu, pembangunan pusat data hijau dan menggalakkan ekosistem yang rancak bagi kenderaan elektrik dan infrastruktur yang berkaitan.
Beliau berkata selain projek infrastruktur fizikal seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kedua-dua negara boleh mengkaji untuk memperkukuh kesalinghubungan dalam sektor perkhidmatan.
"Ini termasuk menambah baik logistik seperti hubungan udara antara China dan wilayah selatan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Mereka juga boleh mengkaji untuk mempertingkat perkhidmatan kewangan bagi memudah cara perdagangan yang lebih lancar dan menggalakkan pertukaran antara rakyat melalui pendidikan dan pelancongan.
"Ini akan membantu membina bakat dan pemahaman budaya yang diperlukan untuk pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Pada 16 April, semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman yang bertujuan meningkatkan perdagangan dalam perkhidmatan dan kerjasama industri.
Perdagangan perkhidmatan dua hala secara keseluruhan mencecah RM44.42 bilion pada 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 57.2 peratus tahun ke tahun.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM484.12 bilion pada 2024.
See berkata kerjasama strategik antara kedua-dua negara diperkukuhkan lagi melalui kerjasama utama termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan serta Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan.
"Berdasarkan China antara tiga destinasi utama Malaysia untuk eksport dan import perdagangan perkhidmatan pada 2024, kerajaan Malaysia melalui MITI, komited untuk memudah cara pertumbuhan ini, mengiktiraf potensinya untuk mempelbagaikan ekonomi kita dan meningkatkan daya saing kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami