PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun mengadakan perbincangan dua hala yang antara lain menyentuh mengenai perdagangan, pertanian dan peranan Malaysia sebagai hab halal yang boleh dimanfaatkan negara itu, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KPKM dalam kenyataan pada Jumaat turut memaklumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan berharap pertukaran teknologi dapat diperkemaskan lagi melalui kerjasama dua hala sedia ada.

Pertemuan sulung dengan Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Mitsuo Takahashi itu berlangsung hampir sejam sempena kunjungan hormat Takahashi di pejabat Arthur di sini pada Jumaat.

"Malaysia merupakan negara dengan majoriti Muslim yang pertama dipilih sebagai lokasi Platform Eksport Makanan Jepun.

"Langkah ini diharap dapat membuka peluang kepada lebih banyak syarikat Jepun untuk menembusi pasaran halal serta mendapatkan pengiktirafan halal," menurut kenyataan itu.

Arthur juga menyatakan kesediaan kementerian bagi menyokong usaha berkenaan dan pada masa sama memohon sokongan serta bantuan Jepun untuk mempertingkatkan kualiti produk keluaran penternak tempatan melalui perkongsian kapasiti dan latihan.

Beliau turut memaklumkan perancangan Malaysia menganjurkan mesyuarat kali kedua Pegawai-pegawai Kanan bagi Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-Jepun (AJMAF) pada 7 Ogos ini dan Mesyuarat Khas Pegawai-pegawai Kanan kali ke-45 Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (SSOM-AMAF) pada 6 hingga 8 Ogos ini.

Mesyuarat itu dijangka membincangkan perkembangan kerjasama ASEAN-Japan MIDORI Cooperation Plan yang telah dipersetujui pada Mesyuarat AJMAF pertama pada 2023.

Arthur mempelawa Jepun menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang bakal diadakan pada 11 hingga 22 Sept ini manakala Jepun menjemput Malaysia mengambil bahagian dalam International Horticultural Expo Yokohama yang akan berlangsung pada 19 Mac hingga 16 Sept 2027.

Jepun merupakan satu daripada rakan dagangan utama Malaysia dalam sektor pertanian dan agromakanan dan menurut data perdagangan 2023 nilai eksport Malaysia ke Jepun ialah RM8.41 bilion berbanding nilai import Jepun ke Malaysia sebanyak RM2.09 bilion.

-- BERNAMA