KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan Kedutaan Syria di sini bagi mengenal pasti pilihan terbaik untuk menyampaikan bantuan ke kawasan yang terjejas berikutan dua gempa bumi kuat yang berpusat di selatan Turkiye yang turut menjejaskan Syria.

Ini termasuk penempatan segera Advance Team dari Malaysia ke Syria, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dalam ciapannya hari ini, menurut kementerian luar Sekretariat Bersama mengenai bantuan ke Syria telah mengadakan pertemuan dengan Kuasa Usaha Kedutaan Syria Mohd Ghiath Ibrahim di Bilik Ops Wisma Putra, Putrajaya, awal hari ini.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Norman Muhamad dan ahli pasukan lain daripada pelbagai agensi kerajaan.

Kementerian juga menggesa rakyat Malaysia supaya menyalurkan sumbangan mereka melalui tabung bencana Wisma Putra-Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri TBKLN.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) di nombor akaun: 1054 9000 0599 (Affin Bank).

Lebih 4,500 mangsa dilaporkan terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera di Syria akibat gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter pada 6 Feb.

-- BERNAMA