KUALA LUMPUR: Malaysia dan Lubnan komited untuk terus memperkukuh serta memperluas kerjasama pertahanan meskipun penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di bawah Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan berakhir tidak lama lagi.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu dinyatakan beliau dalam pertemuan dua hala bersama-sama rakan sejawatannya Mejar Jeneral Michel Menassa, di Kementerian Pertahanan Lubnan bersempena dengan lawatan rasmi pertama selama dua hari ke negara itu bermula Selasa lepas.
“Lubnan merupakan antara rakan terawal Malaysia di Asia Barat. Hubungan ini akan terus diperkukuh, termasuk selepas berakhirnya penugasan MALBATT di bawah UNIFIL.
“Kami berbincang untuk memperluas kerjasama pertahanan, termasuk cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan serta meneruskan peluang latihan melalui Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP). Cadangan ini menerima sambutan baik daripada pihak Lubnan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamed Khaled turut yakin kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan dalam bidang yang dapat memberikan manfaat kepada Malaysia dan Lubnan.
Terdahulu, ketibaan Mohamed Khaled di Kementerian Pertahanan Lubnan disambut Michel Menassa sebelum menyertai Upacara Meletakkan Kalungan Bunga sebagai tanda penghormatan kepada para perwira negara itu.
Dalam lawatan itu, beliau turut mengadakan kunjungan ke Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dan bertemu Duta Besar Malaysia ke Lubnan Anwar Udzir.
Mohamed Khaled turut diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Mohd Yani Daud.
Beliau berkata pihak kedutaan berperanan penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Lubnan merentas pelbagai bidang termasuk pertahanan malah sejak penglibatan Malaysia dalam UNIFIL sekitar 2007, kedutaan telah memberikan sokongan dan memudah cara penugasan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara berkenaan.
“Meskipun penugasan MALBATT di sini akan berakhir tidak lama lagi, hubungan pertahanan perlu terus diperkukuh, termasuk melalui peranan kedutaan demi manfaat kedua-dua negara,” katanya.
Semasa di kedutaan, Mohamed Khaled turut menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan peralatan perubatan dan alat pemadam api daripada MALBATT kepada Pertahanan Awam Lubnan yang diwakili Ketua Pengarahnya Brigedier Jeneral Imad Khreich.
Beliau turut merasmikan kemudahan gimnasium mini sumbangan MALBATT sebagai kenangan peninggalan pasukan buat warga kedutaan.
Mengulas mengenai pengunduran MALBATT, Mohamed Khaled berkata penugasan MALBATT 850-13 di Kem Marakah, selatan Lubnan merupakan kontinjen terakhir ATM di bawah UNIFIL, sekali gus menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan Malaysia dalam misi pengaman antarabangsa di negara itu sejak 2007.
“Sejak 2007, kehadiran ATM di bumi Lubnan di bawah misi UNIFIL mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepada usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa. Sepanjang tempoh tersebut, ATM telah melaksanakan amanah keamanan sejagat ini dengan penuh profesionalisme dan dedikasi, satu khidmat yang menjadi kebanggaan rakyat dan negara,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyaksikan Majlis Simbolik Penyerahan Aset ATM kepada Angkatan Tentera Lubnan (LAF) yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim kepada wakil LAF Brigedier Jeneral Amine El Kai pada hari terakhir lawatan rasmi beliau.
Beliau berkata sebahagian aset MALBATT akan dibawa pulang ke Malaysia, dilupuskan di Lubnan dan sebahagiannya diserahkan kepada LAF.
Penyerahan itu melibatkan 292 aset merangkumi kenderaan dan pelbagai kelengkapan bernilai anggaran USD10 juta (sekitar RM42 juta) yang akan diserahkan secara berperingkat sehingga Januari 2027 bagi kegunaan kebajikan, bantuan kemanusiaan serta keamanan masyarakat setempat.
Mohamed Khaled berkata selain mengadakan pertemuan bersama anggota MALBATT 850-13 yang sedang melaksanakan amanah negara di bawah misi UNIFIL, beliau turut mengambil peluang meninjau Kem Marakah untuk melihat sendiri kemudahan yang disediakan dan suasana kehidupan seharian anggota MALBATT sepanjang bertugas di Lubnan.
Sebelum tiba di Beirut, Mohamed Khaled turut berkesempatan mengadakan lawatan transit singkat di Istanbul, Turkiye dan disambut oleh Ketua Institut Peperangan Laut Universiti Pertahanan Nasional Turkiye Laksamana Muda Emin Yilmaz, yang turut mencerminkan keakraban hubungan pertahanan antara Malaysia dan Turkiye.
Mohamed Khaled yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut pada Selasa lepas disambut Brigedier Jeneral Antoine Kmeid, mewakili Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera Lubnan.
-- BERNAMA