KUALA TERENGGANU: Malaysia masih perlu mengimport kira-kira 26 juta liter susu segar bagi memenuhi keperluan negara berikutan tahap sara diri (SSL) hanya sekitar 62 peratus pada 2024, kata Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Noor Syaheera Ibrahim.
Beliau berkata berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kira-kira 43 juta liter daripada keseluruhan keperluan 69 juta liter susu segar negara berjaya dihasilkan secara tempatan manakala baki 38 peratus atau 26 juta liter masih perlu dipenuhi melalui import.
“Ini menunjukkan kita sebenarnya sudah mempunyai asas industri yang baik tetapi masih ada ruang yang besar untuk berkembang. Pada masa sama, permintaan pengguna terhadap susu segar, susu berkualiti tinggi, produk tinggi protein, produk probiotik, produk tenusu berfungsi dan produk tenusu tempatan juga semakin meningkat.
“Kebergantungan terhadap import bukan berpunca daripada satu faktor sahaja, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem industri tenusu, termasuk produktiviti lembu, kos makanan ternakan, iklim, modal, infrastruktur serta tenaga kerja mahir,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Noor Syaheera berkata peningkatan pengeluaran susu negara bukan sekadar memerlukan lebih banyak lembu tetapi juga ternakan yang mampu menghasilkan susu pada tahap optimum dalam keadaan iklim tropika.
Beliau berkata kos makanan ternakan pula adalah antara komponen kos operasi yang paling besar dalam industri tenusu manakala banyak bahan makanan berkualiti tinggi masih mempunyai kaitan dengan pasaran import dan perubahan harga komoditi dunia.
Menurut Noor Syaheera, iklim tropika Malaysia turut menjadi cabaran kerana lembu tenusu berproduktiviti tinggi menghasilkan banyak haba metabolik dan apabila digabungkan dengan suhu serta kelembapan yang tinggi, haiwan mudah mengalami stres haba, sekali gus menyebabkan pengambilan makanan menurun.
“Masalah skala ekonomi, modal dan infrastruktur turut membataskan perkembangan industri kerana penternakan tenusu memerlukan pelaburan tinggi merangkumi ternakan, kandang, sistem pemerahan, tangki penyejuk, pengurusan najis dan rantaian sejuk.
“Susu segar juga sangat mudah rosak dan perlu dikendalikan dalam rantaian sejuk yang baik. Sebagai contoh, JPV mengesyorkan susu segar disimpan sekitar 3 hingga 4 darjah Celsius untuk mengawal pertumbuhan mikroorganisma,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Syaheera berkata industri tenusu Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, termasuk kewujudan lebih banyak ladang komersial, penggunaan sistem pemerahan moden, pengurusan pemakanan yang lebih sistematik serta penglibatan syarikat swasta dalam pembangunan rantaian bekalan susu tempatan.
Beliau berkata potensi industri tenusu tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import adalah besar, namun usaha itu perlu dilaksanakan secara strategik dengan memberi tumpuan kepada produktiviti lembu sedia ada sebelum menambah populasi.
“Kerajaan menetapkan aspirasi untuk mencapai SSL 100 peratus bagi susu segar menjelang 2030, yang memerlukan pembangunan sumber makanan ternakan tempatan, pengukuhan program pembiakbakaan dan pemilihan genetik yang sesuai dengan iklim tropika serta penggunaan teknologi ladang berketepatan tinggi.
“Bagi mencapai sasaran itu, keutamaan perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti lembu sedia ada sebelum memperluas populasi, selain membangunkan sumber makanan ternakan tempatan seperti rumput berkualiti tinggi, silaj jagung dan hasil sampingan industri agromakanan,” katanya.
Noor Syaheera berkata program pembiakbakaan dan pemilihan genetik yang sesuai dengan iklim tropika juga perlu diperkukuh, di samping meningkatkan penggunaan teknologi ladang tenusu berketepatan tinggi, pengurusan data dan automasi.
“Pada akhirnya, kita perlu mengubah fokus daripada sekadar ‘berapa ekor lembu kita ada’ kepada ‘berapa liter susu berkualiti yang mampu dihasilkan oleh setiap lembu sepanjang hayat produktifnya.
“Usaha kerajaan menerusi Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030), termasuk bantuan dalam bentuk ternakan dan peralatan menunjukkan komitmen berterusan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran industri tenusu tempatan,” katanya.
Selain itu, Noor Syaheera berkata perubahan iklim dan stres haba, kos makanan ternakan serta penyakit adalah antara cabaran utama yang saling berkait dalam usaha meningkatkan pengeluaran susu tempatan.
Beliau berkata peningkatan suhu dan kelembapan menyebabkan lembu mengehadkan pengambilan makanan bagi mengawal penghasilan haba metabolik, sekali gus berpotensi menurunkan pengeluaran susu serta menjejaskan reproduksi dan sistem imun.
Dalam aspek kesihatan ternakan pula, beliau berkata pendekatan industri perlu beralih daripada sekadar merawat penyakit kepada usaha meramal dan mencegah penyakit lebih awal, khususnya mastitis, reproduktif, metabolik dan penyakit berjangkit.
“Universiti perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti pada penerbitan jurnal, sebaliknya diterjemahkan kepada perubahan dan peningkatan produktiviti di ladang manakala kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri perlu diperkukuh, termasuk menerusi lebih banyak ladang penyelidikan komersial.
“Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada produktiviti dan bukan hanya populasi ternakan, termasuk memperkenalkan skim insentif berasaskan prestasi seperti peningkatan pengeluaran susu, pengurangan bilangan sel somatik, peningkatan kadar pembiakan efektif dan penggunaan teknologi hijau,” katanya.
Noor Syaheera yakin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, industri tenusu Malaysia akan bergerak daripada konsep ladang konvensional kepada penternakan tenusu berketepatan tinggi, pintar iklim dan berasaskan ekonomi kitaran, termasuk penggunaan sensor dan kecerdasan buatan (AI), pengurusan nutrisi lebih tepat, automasi pemerahan, tenaga solar serta pengurusan sisa ternakan sebagai biogas atau baja.
Beliau berkata bidang penyelidikan yang perlu diperkukuh termasuk pemilihan genomik untuk lembu tenusu tropika, metabolomik dan biomarker bagi pengesanan awal penyakit, ternakan tahan tekanan haba, mikrobiom rumen serta sumber makanan ternakan alternatif.
Menurut Noor Syaheera, kejayaan industri tenusu Malaysia pada masa depan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah liter susu semata-mata, sebaliknya keupayaan menghasilkan lebih banyak susu daripada sumber yang lebih sedikit, di samping menjamin kebajikan ternakan, kelestarian alam sekitar serta pendapatan mampan penternak.
-- BERNAMA