Kerajaan sedang melihat kemungkinan mendesak Norway untuk menarik balik pengharaman penggunaan minyak kelapa sawit di negara mereka sebagai salah satu pertimbangan bagi penggabungan gergasi telekomunikasi mereka Telenor ASA dengan Axiata Group Berhad milik Malaysia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu juga mungkin boleh dijadikan syarat kepada negara-negara Eropah lain yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Malaysia.

“Ada negara Eropah yang menjual pelbagai barangan kepada kita. Kita beritahu mereka, jika mahu menjual kepada Malaysia, jangan haramkan penggunaan kelapa sawit.

"Ini boleh dilakukan, dan banyak lagi,” katanya kepada media Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke London, yang berakhir hari ini.


Axiata dan Telenor pada bulan lepas mengumumkan penggabungan kedua-dua syarikat itu yang dijangka memberikan impak besar terhadap pasaran Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Perjanjian penggabungan dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2019.

Penggabungan itu bakal menyaksikan Telenor menjadi pemegang saham majoriti dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan manakala 43.5 peratus oleh Axiata.

BACA: Celcom, DiGi bergabung jadi syarikat telekom terbesar Malaysia