KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi menjana nilai ekonomi antara RM30 bilion hingga RM50 bilion dalam tempoh sedekad menerusi pembangunan industri herba, dengan kerajaan menyasarkan untuk menjadi Hab Inovasi BioHerba terkemuka di Asia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook malam Isnin berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Herba Negara (MPHN) hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat yang bertujuan memacu dasar dan objektif strategik bagi membuka potensi penuh industri herba Malaysia itu turut membincangkan usaha merealisasikan potensi berkenaan menerusi pelaburan awam dan swasta yang diselaraskan dengan teliti serta keutamaan dasar yang tepat.
“Potensi luar biasa ini boleh digarap menerusi pelbagai usaha berfokus seperti penanaman komersial tumbuhan perubatan keutamaan, pengesahan klinikal serta perubatan herba berasaskan bukti dan penemuan fitokimia berbantukan kecerdasan buatan (AI).
“Pada masa sama, tumpuan juga harus diberikan kepada kajian genomik dan metabolomik untuk sebatian herba, perlindungan Harta Intelek (IP) dan paten antarabangsa serta penghasilan produk herba halal berorientasikan eksport,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, usaha itu perlu dilaksanakan seiring dengan integrasi bioteknologi dan perubatan kejituan selain pembentukan laluan kawal selia yang lebih teguh selari dengan standard antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan daya saing bagi membangunkan industri herba, termasuk sebagai satu daripada 17 negara megadiversiti dunia dengan kira-kira 1,200 spesies tumbuhan di Semenanjung dikenal pasti mempunyai nilai perubatan.
Menurut Dr Dzulkefly, Malaysia juga berada di tangga ke-12 dunia dalam Indeks Biodiversiti Kebangsaan manakala kekayaan biodiversiti negara perlu diterjemahkan kepada inovasi, penciptaan nilai dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Kita juga unggul menerusi kepimpinan halal, disokong oleh sistem pensijilan yang diiktiraf secara global, lantas membuka ruang yang luas dalam pasaran penjagaan kesihatan Muslim yang semakin pesat berkembang.
“Selain itu, negara kita ditunjangi oleh ekosistem saintifik yang kukuh melalui Monograf Herba Malaysia, sokongan kepakaran agensi terkemuka seperti IMR dan FRIM, pusat bioteknologi serta universiti tempatan, di samping peningkatan kualiti dan pemiawaian produk herba,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, keupayaan pembuatan negara dalam sektor farmaseutikal dan nutraseutikal diperkukuh dengan fasiliti berstatus Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang bersedia menembusi pasaran eksport.
Dr Dzulkefly berkata, usaha membangunkan industri herba memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh jentera kerajaan dan negara, dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan semua pemegang taruh berkaitan.
“Usaha ini menuntut kerjasama erat pelbagai pihak termasuk SME Corp, MRANTI, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Kesihatan, institusi pengajian tinggi, pemain industri serta semua pemegang taruh yang berkaitan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses membuat keputusan serta melaksanakan dasar dengan lebih agresif.
Menurut Dr Dzulkefly, Malaysia mahu diposisikan bukan sekadar sebagai pengeluar herba tradisional, sebaliknya sebagai Hab Inovasi BioHerba terkemuka di Asia yang menggabungkan keunggulan biodiversiti, kemajuan bioteknologi, perubatan kejituan dan kecemerlangan halal di bawah satu bumbung.
-- BERNAMA