NATIONAL
Malaysia sasar kerjasama strategik dengan Korea dalam teknologi lebuh raya pintar

Alexander ketika lawatan teknikal ke ibu pejabat KEC sempena Forum ITS Asia Pasifik 2025.
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmen tinggi untuk membina kerjasama strategik pemain industri tempatan bersama Korea Expressway Corporation (KEC) dalam usaha mempercepatkan transformasi sistem lebuh raya negara ke arah lebih pintar, selamat dan lestari.
Ringkasan AI
- Malaysia komited mempercepat transformasi sistem lebuh raya negara melalui kerjasama strategik bersama Korea Expressway Corporation (KEC), melibatkan pemain industri tempatan.
- KEC diiktiraf atas penggunaan teknologi canggih seperti AI, big data dan sistem tol automatik dalam pengurusan lebuh raya, selari dengan visi Malaysian ITS Roadmap 2030.
- Lawatan teknikal ke KEC membuka peluang kolaborasi jangka panjang dalam aspek pengurusan lebuh raya pintar, pembangunan kapasiti tenaga kerja dan teknologi pembinaan digital yang mampan.
“Kejayaan KEC dalam menggabungkan teknologi dengan kelestarian dan khidmat awam adalah sesuatu yang boleh dijadikan contoh oleh Malaysia, selari dengan visi Malaysian ITS Roadmap 2030,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurutnya, KEC merupakan agensi lebuh raya utama Korea Selatan yang bertanggungjawab ke atas lebih 5,000 kilometer lebuh raya di seluruh negara tersebut dan diiktiraf kerana penggunaan teknologi canggih seperti sistem pengurusan trafik bersepadu, analitik big data, serta kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan penyelenggaraan lebuh raya.
Dalam pada itu, Alexander turut menegaskan bahawa perkongsian strategik dengan pihak seperti KEC adalah penting untuk memastikan Malaysia dapat mengejar pembangunan infrastruktur berasaskan teknologi tinggi termasuk dalam sistem tol automatik, kecekapan pengurusan aset, dan infrastruktur digital.
“Pengalaman KEC dalam melaksanakan sistem tol berteknologi tinggi sejak 2017 sangat relevan, terutama ketika Malaysia sedang menetapkan hala tuju baharu dalam sistem pengurusan tol negara.
"Melalui pendedahan kepada amalan terbaik antarabangsa, Malaysia boleh mempercepat pembangunan sistem lebuh raya yang bukan sahaja canggih dari segi teknologi, tetapi juga inklusif, mudah diakses dan mesra alam," katanya.
Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia diberi taklimat dan pendedahan menyeluruh oleh kepimpinan KEC yang diketuai oleh Pengarah Urusan, Lim Chan Soo dan peluang perbincangan dua hala turut dimanfaatkan untuk menjajaki bentuk kerjasama yang boleh dimulakan antara KEC dan pemain industri lebuh raya di Malaysia.
“Kami amat menghargai layanan mesra dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan KEC. Malaysia berharap hubungan ini dapat diterjemahkan kepada kolaborasi sebenar dalam membina masa depan infrastruktur lebuh raya serantau yang lebih mampan,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami