Skip to main content

Malaysia

Malaysia sasar tarik pelancong berkualiti, bukan sekadar angka ketibaan pelawat - Zulkifli

WITEX, sektor pelancongan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli (tengah) hadir mewakili Senator Zulkifli Hasan di Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026, di Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Ikqwan Lee/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada fokus mengejar angka ketibaan pelawat kepada usaha menarik pelancong berkualiti tinggi yang mampu memberi sumbangan lebih besar terhadap ekonomi dan komuniti tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, Malaysia harus mendorong pelancong tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak, meneroka lebih banyak destinasi serta menikmati pengalaman budaya tempatan.

“Malaysia perlu bergerak ke arah sektor pelancongan yang lebih bernilai tinggi, mampan, inklusif dan berasaskan pengalaman.

“Pelancongan bukan lagi sekadar perjalanan dari satu destinasi ke destinasi lain, sebaliknya merangkumi aspek budaya, perniagaan, pelaburan, pekerjaan, teknologi, gastronomi dan kreativiti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli di Majlis Perasmian Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) 2026, di sini, pada Jumaat.

Menurut Zulkifli, Malaysia mencatat hampir 38 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2024, yang menjana kira-kira RM106.8 bilion hasil pelancongan.

Jumlah itu meningkat kepada 42.2 juta pelawat antarabangsa pada 2025, iaitu pertumbuhan kira-kira 11.2 peratus berbanding 2024.

Bagi 2026, Malaysia menyasarkan 45 juta pelawat antarabangsa, disokong lebih 300 program dan acara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia.

Tambah Zulkifli, pelancongan Islam tidak lagi boleh dilihat sebagai segmen kecil atau khusus, sebaliknya merupakan pasaran global yang signifikan dan semakin berkembang.

“Ia merangkumi pelancongan mesra Muslim, warisan Islam, perkhidmatan berkaitan ibadah, makanan halal, kewangan Islam, teknologi pelancongan serta pelbagai produk dan perkhidmatan gaya hidup,” jelasnya.

Katanya lagi, Malaysia bukan sekadar menyediakan makanan halal atau kemudahan solat, tetapi turut mewujudkan ekosistem yang membolehkan pelawat Muslim melancong dengan yakin dan selesa.

“Selain memastikan pelawat daripada semua latar belakang berasa dialu-alukan serta dihormati.

“Inilah model yang perlu terus diperjuangkan Malaysia, iaitu pelancongan yang inklusif, profesional, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, WITEX 2026 menyasarkan potensi impak ekonomi dan komersial kira-kira RM60 juta, merangkumi transaksi perdagangan, pelaburan, jualan serta perbelanjaan pelancongan dan pengunjung.

WITEX 2026 diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dari 21 hingga 23 Ogos, ia menghimpunkan lebih 300 ruang pameran, pembeli serta pempamer antarabangsa merangkumi produk dan perkhidmatan halal, pengalaman pelancongan budaya serta padanan perniagaan.

Must Watch Video

Advertisement