PUTRAJAYA: Kerajaan selesai memeterai perjanjian untuk menambah 30 peratus lagi vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, perkembangan terbaru itu menyaksikan negara akan memperoleh 31.9 juta dos vaksin Pfizer untuk diberikan kepada rakyat.

“Ini yang sudah pasti, kita sudah memeterai perjanjian untuk membeli jumlah itu. Jadi ia akan menjadikan jumlah vaksin yang telah kita meterai mampu diberikan kepada 50 peratus daripada populasi negara.

“Pagi tadi juga saya telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac di Malaysia iaitu kita bersetuju untuk membeli lagi 12 juta dos. Ini adalah yang dibuat di negara kita, lain daripada 200,000 dos yang kita beli terus dari Sinovac di China.

BACA: Vaksinasi: Bantuan khas hingga RM500,000 untuk kesan sampingan serius, hilang upaya kekal

“Jadi pagi tadi, sebanyak 12 juta dos lagi kita sudah meterai perjanjian. Ini bermakna kita sudah ada 60 peratus vaksin yang kita sudah meterai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini pada Isnin.

Setakat 21 Mac 2021, seramai 6,155,213 rakyat Malaysia sudah mendaftar untuk menjadi penerima vaksin, merangkumi 25.4 peratus daripada rakyat Malaysia.

BACA: Panggilan telefon peringatan, bantuan untuk daftar vaksin akan dilaksana

Jumlah rakyat yang sudah menerima vaksin pula ialah sebanyak 428,710 orang dengan 412,342 orang menerima dos pertama manakala 16,368 orang sudah selesai menerima dos kedua.

Bilangan dos vaksin yang telah dihantar ke Malaysia pula setakat ini adalah sebanyak 847,630 dos.

Selangor mencatatkan jumlah pemberian vaksinasi paling tinggi iaitu 53,935 dos diikuti, Perak (49,518), Sarawak (43,007), Sabah (41,058) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (36,316).