Skip to main content

Malaysia

Malaysia tegaskan komitmen ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030

Sumber: BERNAMA
Malaysia yakin komitmen padu dan tindakan proaktif semua negara anggota ASEAN mampu memperkukuh ketahanan rantau dalam menghadapi cabaran iklim. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk merealisasikan aspirasi ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030 menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pendirian itu telah disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pada 21 Ogos lalu.

Menurut beliau, pemantauan kementerian terhadap perkembangan meteorologi semasa mendapati keadaan cuaca kering yang berterusan di selatan rantau ASEAN telah menyebabkan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu.

Keadaan itu berpotensi menjadi lebih meluas susulan fenomena El Niño yang dijangka beransur menguat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota ASEAN masing-masing.

Namun, risiko pencemaran jerebu merentas sempadan memerlukan kesiapsiagaan kolektif serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau.

Menurutnya, pencemaran jerebu akibat kebakaran tanah dan hutan perlu ditangani secara bersama menerusi langkah pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berlandaskan prinsip AATHP.

Katanya, intervensi awal, pertukaran maklumat yang tepat dan pantas serta koordinasi erat antara negara ASEAN merupakan elemen penting bagi menangani isu jerebu secara berkesan.

“Langkah pencegahan kekal sebagai pendekatan paling berkesan dalam melindungi rantau ini daripada impak buruk jerebu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Sehubungan itu, semua negara anggota ASEAN digesa meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi.

Ia termasuk mempertingkat pengawasan titik panas, memperkukuh penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka serta memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang cekap bagi mengelakkan insiden daripada merebak.

Dalam pada itu, Malaysia mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN sebagai Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Interim ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control - ACC THPC).

Peranan itu penting dalam memudah cara penyebaran maklumat, menyelaras langkah kesiapsiagaan antara negara anggota serta memperkukuh mekanisme kerjasama di bawah AATHP.

Malaysia yakin komitmen padu dan tindakan proaktif semua negara anggota ASEAN mampu memperkukuh ketahanan rantau dalam menghadapi cabaran iklim.
 

 

Must Watch Video

Advertisement