Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia utamakan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang

SEREMBAN, 14 Ogos -- Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) menjawab pertanyaan pengamal media pada Program Ziarah Kasih Tokmat di Taman Pinggiran Senawang, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) menjawab pertanyaan pengamal media pada Program Ziarah Kasih Tokmat di Taman Pinggiran Senawang, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEREMBAN: Malaysia memberi jaminan aspek keselamatan pelarian Myanmar yang akan dihantar pulang ke negara asal diberikan keutamaan bagi memastikan kebajikan dan nyawa mereka terpelihara.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia tidak mahu dilihat sebagai negara yang tidak berperikemanusiaan kerana menghantar pulang pelarian sekiranya nyawa dan keselamatan mereka terancam di negara asal.

Beliau turut bercadang untuk berunding dengan kerajaan Myanmar supaya mewujudkan kawasan khas di Rakhine untuk mereka yang akan dihantar pulang tinggal di situ.

“Kita mahu ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk pada program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata kerjasama antara Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting bagi menyemak serta mengesahkan status dan keadaan keselamatan pelarian itu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Myanmar sedia membawa pulang 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia dengan menggunakan kapal.

Mohamad berkata ASEAN turut memandang serius isu pelarian Myanmar yang perlu ditangani secara bersama-sama oleh negara anggota dan Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu kekal menjadi teras dalam menangani krisis di negara itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia bersedia memulakan proses penghantaran pulang pelarian itu secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah dikenal pasti statusnya.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka pulang secara berperingkat.

“Tidak perlu menunggu hingga 5,000 orang… kalau sudah dikenal pasti 1,000 orang boleh dihantar balik,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement