KUALA LUMPUR: Malaysia dan Vietnam komited untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan, termasuk memperluaskan kerjasama dalam bidang maritim, pembangunan keupayaan, teknologi serta industri pertahanan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Vietnam LΓͺ Minh HΖ°ng sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Beliau berkata Malaysia mempunyai hubungan pertahanan yang erat dengan Vietnam dan menganggap negara itu sebagai rakan yang dipercayai serta strategik.
βKedua-dua negara turut berkongsi pandangan strategik yang sama serta berpegang kepada prinsip ASEAN, dengan dialog dan diplomasi sebagai asas dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,β katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamed Khaled berkata pertemuan itu turut menyentuh cabaran pertahanan semasa, termasuk persaingan kuasa besar, aktiviti 'grey zoneβ, ancaman siber, kecerdasan buatan (AI), ancaman peperangan moden dan kognitif, serta gangguan rantaian bekalan.
Beliau berkata dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks, ASEAN perlu terus memperkukuh daya tahan serantau kolektif menerusi kerjasama yang lebih erat.
Mohamed Khaled berkata Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan 2023 akan terus menjadi pelan hala tuju dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam ke tahap lebih strategik.
βKerjasama dalam bidang maritim, pembangunan keupayaan, teknologi dan industri pertahanan juga akan diperluaskan, selaras dengan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,β katanya.
-- BERNAMA