Kebanyakan mangsa banjir di Pasir Puteh hanya mampu membawa pakaian seadanya atau lari sehelai sepinggang ketika menyelamatkan diri ke beberapa pusat pemindahan berikutan paras air yang meningkat dengan mendadak.

Seorang mangsa Asri Awang, 44, daripada Kampung Padang Pak Amat di sini, berkata beliau hanya sempat mencapai beberapa helai pakaian dan terlupa untuk membawa selimut atau alas tidur ketika mula berpindah dari rumahnya pada 1.30 pagi tadi.

"Ini kerana air naik begitu cepat sejak malam tadi hingga saya, isteri dan seorang anak berpindah secara tergesa-gesa. Ada yang melihat kelengkapan di pusat pemindahan banjir pula tidak memadai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini, hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang ditemui ketika melawat pusat banjir itu, berkata Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh telah memberi jaminan kepadanya akan membekalkan keperluan yang dikehendaki malam ini.

"Mereka mungkin tidak sempat melakukannya berikutan banjir luar jangka yang berlaku di jajahan ini," katanya.

Seorang warga emas, Ismail Ahmad, 85, daripada Taman Perumahan Sepakat, Padang Pak Amat berkata dia dan keluarganya terpaksa berpindah ke situ dengan cepat selepas rumahnya digenangi air bermula semalam.

Ismail meminta pihak berkenaan mempastikan keluarga yang dipindahkan segera disediakan kelengkapan sewajarnya. -- Bernama