POLITICS
MCA, MIC usah buat pendirian waktu sedang marah - Pemuda UMNO

ASYRAF: "MCA dan MIC jangan membuat pendirian secara melulu dan dalam keadaan marah. Kita bila dalam suasana yang tegang kita jangan buat keputusan lagi." - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyarankan parti MIC dan MCA tidak mengambil pendirian secara melulu dan dalam keadaan suasana tegang dan dalam keadaan sedang marah.
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi berkata perbincangan harus diadakan terlebih dahulu dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Menurut Asyraf, rakyat masih menyandarkan harapan kepada Barisan Nasional (BN) untuk berpaut dan menyuarakan hasrat mereka.
“MCA dan MIC jangan membuat apa-apa pendirian secara melulu dan dalam keadaan marah. Kita bila dalam suasana yang tegang kita jangan buat keputusan lagi.
“Lebih baik kita duduk dulu berbincang sebab saya kira kita hari ini kita harus ingat apa juga yang kita nak rencanakan bukan untuk kepentingan parti sahaja kita harus memikirkan kepentingan rakyat.
Sebelum ini dalam satu kenyataan bersama kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Tan Sri S.A Vigneswaran telah menyatakan cadangan untuk meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam BN tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti terbabit.

MCA dan MIC telah menyatakan cadangan untuk meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam BN tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti terbabit. - Foto Bernama
Dalam reaksinya, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau mengambil maklum luahan rasa tidak puas hati oleh Presiden MCA dan Presiden MIC dan beliau tidak akan mengetepikan begitu sahaja perkara itu.
Susulan itu, satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan kenyataan MCA dan MIC yang bertindak mengeluarkan kenyataan bersama mahu melihat kemungkinan menubuhkan gabungan parti yang baharu.
UMNO, MCA dan MIC ialah tiga komponen parti asal dari era Perikatan yang telah bersama-sama menubuhkan BN pada tahun 1974. Pada kemuncaknya, BN dianggotai 13 parti komponen termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta parti-parti tempatan Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, semua parti melainkan UMNO, MCA dan MIC telah bertindak keluar BN setelah parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami