HULU TERENGGANU:
Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) perlu jujur dengan tahap kesihatan mereka sekiranya dijangkiti COVID-19.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat berkata, mangsa yang terjejas akibat banjir juga disarankan untuk melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 khususnya mereka yang mempuyai gejala.

Menurut beliau, tindakan itu perlu dilakukan bagi menggelakkan jangkitan kes sepanjang mereka berlindung di PPS apatah lagi daerah Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi.

Dalam masa, Lizan memberitahu, pihaknya turut membekalkan kit ujian kendiri di PPS sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya telah mengarahkan semua PPS, ketua sektor untuk memberi penekanan mana-mana (mangsa) yang bergejala kita mengesyorkan dan mengharapkan dia pakai mask (pelitup muka).

“Mana-mana (mangsa) yang rasa dia memerlukan pemeriksaan disyorkan untuk lakukan  pemeriksaan COVID dulu (dan) jika dijangkiti COVID kita akan menghubungi pihak kesihatan daerah untuk membuat pemeriksaan di PPS yang terlibat dengan wabak ini,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan dan menghadkan kira-kira 20 peratus penggunaan kit berkenaan di setiap PPS yang diaktifkan.

Katanya lagi, peningkatan kes COVID-19 ketika ini juga membimbangkan pihaknya namun tiada sebarang kes jangkitan direkodkan setakat ini membabitkan PPS di daerah berkenaan.

Setakat ini, daerah Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan lebih 1,000 mangsa masih berlindung di 10 PPS.

Beliau turut mengingatkan mangsa agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat kawalan kendiri sepanjang masa.

Setakat 23 Disember lepas, portal kkmnow melaporkan Terengganu mencatatkan sebanyak 1,250 kes aktif COVID-19.