Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 2,935 berbanding pada Selasa seramai 1,979 mangsa.

Sehingga pukul 5 pagi Rabu sebanyak 74 pusat pemindahan diaktifkan di tujuh daerah kecuali Kemaman.

Berdasarkan laporan info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Besut mencatatkan peningkatan ketara iaitu 1,348 mangsa.

Justeru itu sebanyak 33 pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 378 keluarga.

Ini diikuti daerah Hulu Terengganu dengan 790 mangsa manakala di Setiu 372 mangsa ditempatkan di sembilan pusat perpindahan.

Selain itu seramai 165 mangsa daripada 48 keluarga dipindahkan di empat pusat pemindahan Dungun dan 71 masih ditempatkan di pusat pemindahan daerah Marang.

Di Kuala Terengganu, dua pusat pemindahan di balai raya Kuala Ibai dan Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong diaktifkan bagi menempatkan 63 mangsa daripada 14 keluarga.

Manakala di Kuala Nerus dua pusat pemindahan masih beroperasi dan seramai 116 mangsa masih ditempatkan di Masjid Kampung Baru Pulau Redang.

Sementara itu, tiga sungai utama iaitu Sungai Marang, Sungai Nerus dan Sungai Chalok di Setiu berada pada paras waspada.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, tiga sungai di daerah Besut iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Kampung La dan Sungai Besut di Jambatan Keruak berada di paras amaran.