JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatat peningkatan kepada 9,807 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu setakat jam 5.30 petang tadi.

Angka mangsa melibatkan 2,834 keluarga dari seluruh negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, Tangkak daerah terbaharu dilanda banjir yang menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga di sebuah PPS.

Katanya, terdapat sembilan PPS baharu dibuka termasuk di Tangkak.

"Ia menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini yang ditempatkan 72 PPS, berbanding 6,694 mangsa banjir daripada 1,847 keluarga di 63 PPS di tujuh daerah terjejas.


LAMAN MIKRO BANJIR ADA DI SINI 


"Segamat kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, melibatkan 2,408 penduduk daripada 743 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Kluang kekal yang melibatkan 1,952 mangsa banjir dari 518 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Azmi, daerah Johor Bahru meningkat yang merekodkan seramai 1,888 mangsa daripada 609 keluarga, dengan 11 PPS beroperasi.

Manakala daerah Kota Tinggi juga kekal dengan 1,315 mangsa daripada 307 keluarga yang berjaya dipindahkan ke 13 PPS.

"Daerah Kulai kekal jumlah jam 12 tengah hari iaitu Kulai membuka lima PPS yang menempatkan 320 mangsa daripada 80 keluarga.

"Manakala Mersing menempatkan 44 mangsa banjir daripada 14 keluarga di dua PPS.

"Di Pontian, 36 mangsa banjir daripada 11 keluarga ditempatkan di tiga PPS," katanya.