Sesiapa yang biasa menghisap shisha yang lazimnya dijual di kedai makanan Arab, mereka tentu tahu kalau satu perisa sahaja, tidak sesedap adunan campuran dua perisa yang berbeza.

Strategi itu bukan sesuatu yang baru atau 'rahsia besar'. Namun itulah ramuan yang membuatkan kebanyakan orang tertarik dengan shisha.

Shisha

Cerita shisha dua perisa itu membuka ruang kepada perbualan panjang saya dengan seorang peniaga shisha, Mohd. Sofian Hassim pada Ahad malam lepas.

Cerita shisha ini sekadar mukadimah perbualan yang membawa saya untuk bertanyakan pendapat beliau tentang senario politik tempatan terutamanya cerita mengenai 'ibu kepada segala pilihan raya'.

"Macam berniaga juga, manifesto pilihan raya pun kena 'sedap' sebab ia mengenai rasa," kata Sofian.

"Tetapi perlu ingat, manifesto sekadar panduan untuk 'guide' kita supaya bersedia dengan keadaan masa depan. Semua dalam manifesto parti politik adalah mengenai masa depan," tambahnya lagi.

Saya tertarik dengan pendapat Sofian yang mengingatkan saya dan pastinya ramai anak-anak muda di luar sana tentang gelombang perubahan.

Shisha

"Sejak bila ahli politik jadi pencetus perubahan? Perubahan itu sebenarnya bermula daripada peringkat massa. Sejak berzaman-zaman, daripada Plato, Ibnu Khaldun, sampailah revolusi Perancis. Semuanya bermula daripada peringkat khalayak umum."

Jadi, intepretasi atau terjemahan makna perubahan itu daripada perspektif beliau walau apa pun perlu bermula daripada kita sendiri. Cara kita berfikir, cara kita bekerja.

"Sebab itu (Tun) Dr. Mahathir menulis pasal Dilema Melayu. Waktu itu, sikap dan cara kita perlu berubah untuk ke hadapan," katanya.

Sofian merupakan seorang graduan dari sebuah universiti tempatan yang sudah menceburi bidang perniagaan shisha sejak 2009 lagi.

Sebaik dia mendapat segulung ijazah sarjana muda perniagaan antarabangsa pada 2005, beliau bekerja dalam industri perbankan selama setahun setengah.

Sekarang ini, selepas empat lima tahun berniaga, dia sudah meluaskan perniagaannya dan mempunyai tiga rangkaian shisha di sekitar Lembah Klang.

Shisha

"Apa pun kena berani. Perubahan itu bermula dalam otak dan hati kita, bukan parti politik." katanya sebagai ingatan kepada semua orang, baik pengundi berdaftar mahu pun bukan pengundi di Malaysia.

Saya teruja mendengar semangat Sofian, yang penuh dengan jiwa seorang yang yang memahami perubahan.

"Benar, ramai kata shisha sedap. Ingat juga kesihatan perlu dijaga. Selalunya benda sedap ini kalau banyak sangat boleh memudaratkan. Kena balance lah!," kata beliau sambil tersenyum lebar sekaligus menutup perbualan panjang.