Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membina kediaman yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi golongan asnaf di negara ini.

Dijangkakan kediaman yang dinamakan Perkampungan Ummah akan bermula Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, negeri Kedah bakal menjadi destinasi pertama pembinaan Perkampungan Ummah.

Katanya, beberapa daerah telah dikenal pasti dan dalam rundingan bersama kerajaan negeri untuk dijadikan ‘City Center’ dimana golongan asnaf yang terpilih bukan sahaja bakal menduduki rumah baharu dan selesa malah mereka turut diberikan bimbingan untuk berniaga.

Beliau berkata, golongan asnaf ini akan tiggal di Perkampungan Ummah ini dalam tempoh tiga tahun dan diberikan latihan keusahawanan sehinggalah mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Jelas Dr Ahmad Sani, untuk peringkat permulaan, pihaknya akan membina 50 buah rumah selain dilengkapi sekolah, masjid, klinik bergerak dan taman permainan kanak-kanak.

Kos keseluruhan projek pembinaan dianggarkan RM10 juta.

"Ini melibatkan 15 ekar tanah dan melibatkan 50 buah rumah yang akan dijadikan sebagai pusat transformasi, daripada asnaf kita bimbing mereka sehinggalah mereka dapat keluar menjadi sebagai pembayar zakat.

"MAPIM jangkakan dalam sedikit masa lagi kemungkinan Insya-Allah dalam bulan Ogos nanti kita akan mulakan pembinaan Perkampungan Ummah ini," kata beliau.

Dr Ahmad Sani sebelum itu mengadakan lawatan meninjau kerja-kerja baik pulih rumah golongan asnaf di sini pada Khamis

Sebelum ini, MAPIM, kata Dr Ahmad Sani telah membina Perkampungan Ummah di Idlib, Syria.

Sebanyak 100 buah rumah itu dilengkapi kemudahan seperti masjid, sekolah dan klinik telah dibina di perkampungan itu yang menempatkan pelarian Syria.