SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan seekor anjing baka Pomeranian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak mempunyai permit import yang sah, pada Isnin lepas.

Pengarah MAQIS Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata anjing berkenaan cuba dibawa masuk oleh satu pasangan warga Iran yang menaiki penerbangan dari Turki.

"Kemasukan seekor anjing berbaka Pomeranian itu telah berjaya dikesan oleh dua pegawai penguat kuasa MAQIS sekitar 6.30 petang di Pejabat MAQIS Terminal 1, KLIA," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sobri berkata kes berikut disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, katanya.

Beliau berkata MAQIS sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak akan menjejaskan sektor pertanian negara.

-- BERNAMA