Skip to main content

Malaysia

MARA tunggu hasil siasatan polis kes buli MRSM di Johor

KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjawab soalan dari pengamal media pada Sesi Konsultasi Rang Undang-Undang MARA 2026 di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf berkata, polis telah menjalankan kawat cam bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes berkenaan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menanti laporan penuh daripada polis berhubung insiden buli yang dikaitkan dengan sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran disiplin dalam institusi pendidikan di bawah agensi itu.

Beliau berkata, polis juga telah menjalankan  kawat cam bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Seperti yang saya katakan, pihak MARA masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Anugerah Pendidik MARA 2026, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan enam pelajar senior sebuah MRSM di Johor dipercayai terlibat dalam kejadian membelasah seorang pelajar tingkatan dua.

Mangsa dikatakan dipukul selepas didakwa menghisap rokok elektronik atau vape.

Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar serta individu yang terbabit.

Kesemua suspek yang berusia 17 tahun ditahan di sekitar daerah Muar, Johor dan Alor Gajah, Melaka awal pagi kelmarin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, matlamat pendidikan MARA bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, malah membentuk generasi yang mempunyai sahsiah terpuji serta pegangan nilai yang kukuh.

Katanya, pelajar perlu dibimbing menjadi individu yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai integriti tinggi kerana mereka bakal menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.

“Hasrat kita adalah untuk melahirkan modal insan yang seimbang, bukan sahaja hebat dari segi pencapaian dan kompetensi, tetapi juga mempunyai akhlak serta jati diri yang tinggi.

“Justeru, MARA tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli sama ada melibatkan penderaan fizikal, tekanan mental, gangguan emosi atau perlakuan yang menjejaskan maruah seseorang,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement