Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan tujuh lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai protes jalanan #KitaLawan pada 28 Mac lepas.

Mereka didakwa di mahkamah berasingan.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu bagi tujuan antaranya Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara.

Bagi kes pertama, Maria dan tiga lagi iaitu pengerusi Jingga 13; Mohd Fariz Abd Talib@Musa, pengurus sekretariat Bersih 2.0; Mandeep Singh dan Anggota Parlimen Bayan Baru; Sim Tze Tzin didakwa di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa bersama dengan orang lain yang masih bebas menyertai suatu protes jalanan bagi tujuan tertentu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo antara 3.15 petang hingga 6 petang, 28 Mac lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pendakwaan dan pembelaan bersetuju bahawa keempat-empat mereka yang dinamakan sebagai Orang Kena Saman (OKS) dalam kes ini, diikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang.

Majistret Muhamad Faizal membenarkan jaminan RM500 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 16 Okt untuk sebutan kes.

Sementara itu, aktivis Adam Adli Abd Halim, 26, dan Mohd Fariz, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris atas pertuduhan menyertai protes jalanan bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara 4 petang dan 7.30 malam, 28 Feb lepas.

Mohd Rehan membenarkan mereka diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Okt depan untuk sebutan semula.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Teja Chang Lih Kang, 35, Pegawai Khas Anggota Parlimen Batu; Rozan Azen Mat Rasip, 38, dan anggota PKR Lee Chean Chung, 34, turut mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan membenarkan mereka diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Okt depan untuk sebutan semula.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin, Musli Ab Hamid dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala kesemua OKS diwakili Ramkarpal Singh Deo, Datuk S.Ambiga, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Anggota Parlimen Batu Tian Chua serta penyokong yang memakai baju kuning bertulis Bersih 4 juga hadir di mahkamah.