PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia di musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam kenyataan hari ini berkata bagi mengekang dan memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti salah laku di Zon Maritim Malaysia, rondaan di kawasan panas (hotspot) yang telah dikenal pasti akan diperhebat.

Beliau berkata seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan dengan kekuatan 45 buah pelbagai aset milik agensi bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara yang meliputi keluasan 556,285 kilometer persegi.

"Pihak Maritim Malaysia juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di kawasan perairan negara," katanya.

Hamid turut menyeru komuniti maritim khususnya untuk terus menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak agensi agar aktiviti salah laku dan jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim Negeri yang berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999.

-- BERNAMA