KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C kerana disyaki melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran pada jarak kira-kira 8.3 batu nautika timur dari daratan Nenasi sekitar 3.40 petang pada Khamis.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot nelayan tersebut diperiksa dan ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan secara menunda, oleh bot pemintas Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Makmur di perairan Negeri Pahang.

"Tangkapan adalah hasil aduan dan kerjasama rapat komuniti maritim setempat yang melaporkan terdapat sebuah bot nelayan tempatan menceroboh kawasan pesisir pantai dan menjalankan aktiviti perikanan  tanpa kebenaran iaitu menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan dalam buku lesen.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh enam kru termasuk seorang tekong warga Myanmar berumur linkungan 19 hingga 31 tahun dan kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bot dan kesemua kru bersama peralatan menangkap ikan termasuk hasil laut dengan anggaran 4,500 kilogram dipercayai baharu ditangkap telah ditahan dan diiringi ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Jelasnya, bot tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Maritim Malaysia akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

" Maritim Malaysia juga mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan perairan aman dan sejahtera," katanya.

Menurut Kamal Ariffin, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.