PENGASAS Facebook Mark Zuckerberg merancang untuk menyediakan perkhidmatan internet di kem-kem pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor portal BBC.

Sewaktu menyampaikan ucapan di forum PBB di New York, Zuckerberg memberitahu, rancangan tersebut membolehkan para pelarian mendapat akses pantas bagi mendapatkan bantuan atau berhubung dengan ahli keluarga masing-masing.

Jelasnya, Facebook akan menjadi sebahagian daripada rangka kempen tersebut yang bertujuan menyediakan perkhidmatan internet kepada semua orang di dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kempen tersebut mendapat sokongan ramai.

Antara yang menandatangani sokongan kepada projek yang diberi nama Connectivity Declaration itu ialah penyanyi Bono, aktres Charlize Theron, pengasas Microsoft Bill Gates, serta usahawan bilionair Richard Branson.

Zuckerberg berkata Facebook akan menjalin kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ketersambungan akan membolehkan para pelarian mendapat akses yang lebih baik terus kepada komuniti bantuan selain mengekalkan hubungan dengan keluarga serta orang yang dikasihi,” katanya.

Kira-kira tiga bilion orang di seluruh dunia mempunyai akses internet, dan kempen tersebut menyasarkan kelebihan internet kepada lagi empat bilion orang.

Buat masa ini, Zuckerberg berkata, Facebook mempunyai 1.5 bilion pengguna yang mendaftar masuk sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.