Skip to main content

Malaysia

Masalah air di Tawau dijangka selesai sebelum akhir 2027 - Hajiji

SIPITANG, 13 Jun -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri hajiji Noor menyampaikan ucapan pada majlis Peluncuran Projek Sabah Southern Madani Link di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah jari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.
Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang dijangka siap sebelum akhir 2027 bakal menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi penduduk di daerah ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

TAWAU: Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang dijangka siap sebelum akhir 2027 bakal menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi penduduk di daerah ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata projek membabitkan pembinaan Empangan Air Tawau untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 serta LRA Utara itu sedang berjalan mengikut jadual.

"Walaupun ada permohonan daripada kontraktor untuk melanjutkan kerja, yang penting projek itu dijadual siap sebelum akhir 2027.

"Kita (kerajaan negeri) warisi masalah ini. Masalah ini bukan datang (timbul) pada waktu kerajaan hari ini tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita lakukan yang terbaik. Kita bagi peruntukan untuk selesaikan dan bagi kemudahan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata 2 di sini pada Ahad.

Hajiji berkata kerajaan negeri bersedia melakukan penelitian sekiranya terdapat keperluan untuk menambah peruntukan projek berkenaan bergantung kepada laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek JANS Rodney Tinggas dalam taklimatnya memaklumkan Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau mencapai kemajuan projek sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai lepas.

Projek berkenaan merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu serta pemasangan paip air bersaiz 700 milimeter (mm) sepanjang 11.6 kilometer.

Empangan berkenaan membekalkan air kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari, selain mengurangkan risiko banjir di kawasan hiliran Tawau.

Di samping itu, Hajiji turut mendengar taklimat mengenai perkembangan pembinaan projek LRA Cinta Mata 2 yang dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitar.

Setakat 25 Julai, pembinaan LRA berkapasiti 30 juta JLH bernilai RM299.9 juta itu kini mencapai kemajuan fizikal 16.08 peratus.

Sebanyak 53,133 akaun pengguna air berdaftar direkodkan di Tawau namun jumlah pengeluaran air semasa hanya 130 juta liter sehari (JLH) berbanding permintaan sebanyak 142 JLH.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement