Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan kebakaran yang berlaku di Flat Sri Sabah, di sini, pada hujung minggu lalu berpunca daripada masalah pendawaian elektrik yang berlaku di unit tiga di tingkat 17.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, punca kebakaran itu dikenal pasti hasil siasatan oleh bahagian forensik  JBPM Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Muhammad Salleh menafikan dakwaan yang dilaporkan kebakaran flat tersebut berpunca daripada bunga api.

"JBPM telah kenal pasti punca kebakaran bermula di unit nombor 3. Difahamkan semasa kebakaran unit tersebut tertutup (pintu).

"Dan makluman awal seperti yang dikongsikan oleh orang awam berkenaan punca kebakaran disebabkan oleh bunga api adalah tidak benar, kata beliau ketika ditemui media di Sekolah Kebangsaan Sri Cheras, di sini, hari ini.

Kebakaran Flat Sri Sabah berpunca dari bunga api adalah tidak benar - JBPM

Beliau turut memaklumkan, pihaknya masih lagi meakukan pelbagai ujian bagi mengukuhkan punca kebakaran itu.

“Buat masa sekarang, kami percaya 95 peratus punca kebakaran disebabkan pendawaian elektrik dan kita masih lagi dalam proses untuk mengesahkan selanjutnya,” ujar Muhammad Salleh. 

Selain itu, Muhammad Salleh berkata, jumlah kerugian akibat kebakaran itu juga masih belum ditentukan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat untuk melakukan pemeriksaan di kesemua flat kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (DBKL) 

"Kita akan tubuhkan satu pasukan taskforce untuk periksa seluruh flat bandaraya (DBKL)... kita akan buat segera, kita akan tubuh, buat siasatan dan cadangan yang perlu untuk mempertingkat sistem-sistem untuk kediaman sebegini," tambahnya lagi.