Dua mayat kru kapal dagang MV Amanda yang terbalik dan karam di perairan timur Tanjung Sepang, dekat sini, petang semalam, telah ditemui malam tadi, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mayat kedua-dua lelaki berkenaan, warga Bangladesh dan China, ditemui pada pukul 7.45 malam, timbul di permukaan air, sejurus kapal dagang yang membawa muatan batu itu tenggelam sepenuhnya.

Beliau berkata pihaknya meneruskan operasi Carilamat (SAR) seluas 40 batu nautika daripada lokasi kapal berkenaan terbalik bagi mencari seorang lagi kru kapal warga Bangladesh, juga lelaki, yang masih belum ditemukan.

"Kita akan memfokuskan pencarian di kawasan permukaan dan dasar laut. Pasukan selam juga telah diletakkan bersiap siaga bagi melakukan selaman di mana ada kemungkinan mangsa masih terperangkap," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pos Maritim, Tanjung Pengelih, dekat sini, hari ini.

Pada kejadian pukul 2 petang Selasa, kapal tersebut yang membawa sembilan kru, kesemuanya warga asing, telah mengalami kerosakan pada janakuasa sehingga menyebabkan wheel kapal tidak dapat berfungsi.

Ketika cuba membuat undur penuh, ombak telah menolak kapal berkenaan menyebabkan ia bertembung dengan kapal lain lalu terbalik dan karam.

Bagaimanapun, enam kru lelaki iaitu lima warga Bangladesh dan seorang warga China selamat manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

-- BERNAMA