KAJANG: Mayat seorang lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada empat hari lalu ditemukan di  pangsapuri City Height, Kajang pada jam 9.24 pagi Rabu.

Menurut Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, pihaknya yang tiba sejurus menerima laporan mendapati pintu kediaman mangsa telah terkunci dari luar.

“Pintu rumah didapati telah terkunci dari luar dan setelah berjaya dibuka didapati seorang lelaki berusia 41 tahun telah meninggal dunia.

“Mayat ditemui berada di atas kerusi di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, anggota bomba terpaksa menggunakan beberapa peralatan bagi tujuan membuka pintu rumah berkenaan yang turut dibantu pihak polis.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Chu Huang itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.